Kalau dilihat secara luarannya, orangnya biasa-biasa sahaja. Namun, semangatnya luar biasa. Kurang lebih empat tahun penulis sudah tidak menemuinya, hanya sesekali terlihat ‘update’ terkininya di Facebook membuatkan penulis rasa ingin tahu perihal hidupnya sekarang.


Setahu penulis, wanita bernama Sabrina Tajuddin ini dulunya bekerja di KPJ Klang Specialist sebagai Pegawai Sumber Manusia. Kemudian mendapat tawaran lebih bagus di DRB-Hicom sebagai Human Resource Specialist.

Wow! Waktu itu, penulis juga ‘salute’ dengan pencapaiannya dalam kerjaya yang dilihat meniti tangga pangkat dengan pantas dalam usia yang masih muda.


Namun, tak lama selepas itu, penulis mendapat tahu yang dia sudah pun meletakkan jawatan. Berkelulusan tinggi dan sudah disediakan kerusi jawatan yang baik kenapa dengan beraninya mengambil tindakan sebegitu?




Kredit foto: Sabrina Tajuddin



“Ya, itu pun notis 24 jam saya berikan! Ini semua kerana anak...”

Mahu tahu kisah lanjut Sabrina? Bagaimana kehidupan dan kewangannya selepas itu, apa pula yang dilakukannya untuk keluar dari belenggu hutang-piutang keliling pinggang?

Ayuh, selami hati isteri kepada Hafiz Salami Hussein dan ibu kepada Iffat Mifzal, 6, Isma Madihah, 4 dan Muhammad Ismail Mahdi, 2 ini.



Kredit foto: Sabrina Tajuddin





Terus kepada ceritanya, apa faktor yang menyebabkan Sabrina meletakkan jawatan secara mengejut?

Anak saya didera pengasuh. Saya sudah sampai di satu tahap yang tak mampu bertahan lagi. Saya kata kepada suami yang waktu itu bekerja sebagai jurutera, saya mesti jaga anak saya sendiri.

Walaupun saya tahu suami agak keberatan, namun demi anak, kami pasrah. Saya letak jawatan dalam tempoh 24 jam tanpa apa-apa perancangan atau persedian langsung.

Yang saya tahu, saya mahu selamatkan anak saya. Sebenarnya, saya pun mahu menasihati wanita di luar sana untuk tidak meniru cara saya ini yang berhenti tanpa wang simpanan, kerana jika tidak kuat kita memang akan ‘sakit’.



Kredit foto: Sabrina Tajuddin






Apa yang berlaku selepas Sabrina berhenti kerja? Cukupkah gaji suami?

Jujurnya, memang huru-hara jugalah pada awalnya. Kita sudah biasa bergaji bulanan, jadi apabila tiba-tiba tiada duit, bagaimana mahu selesaikan komitmen hutang dan bil setiap bulan itu?

Gaji suami tidak cukup untuk menanggung semuanya kerana sebelum ini gaji kami dikongsi untuk selesaikan keperluan, saling tampung-menampung. Maka, bermulalah detik hitam dalm kehidupan kami waktu itu.

Hutang tertunggak. Bank call pun, saya takut nak angkat. Paling kesian anak-anak kerana tidak mampu memenuhi permintaan mereka kalau mahukan sesuatu yang di luar kemampuan kami.




Kredit foto: Sabrina Tajuddin




Kemudian, apa yang Sabrina usahakan dengan tiada punca pendapatan tetap?

Dalam tiga bulan jugalah hidup saya sakit tanpa apa-apa pendapatan. Saya pula jenis yang tak biasa duduk diam. Saya pun mulalah berniaga secara berjualan secara langsung dari rumah.

Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang asalkan halal. Saya jual kosmetik, buat dropship dan macam-macam lagi yang saya jual.

Akhirnya, satu hari suami cadangkan kepada saya untuk menjadi agen penapis air. Katanya, pulangannya boleh tahan. Saya tidak fikir panjang lagi terus saja mencuba.

Bukan rugi pun cuba. Pelanggan pertama saya ialah Mak saya sendiri. Dan, satu unit penapis air yang berjaya saya jual itu memberikan saya komisyen RM400.

Wow, waktu itu saya sudah mula teruja! Dalam kepala saya sudah berkira, kalau satu pun senang-senang boleh dapat RM400, kalau dua, tiga, empat sebulan dah berapa? Boleh dibuat dari rumah saja pun.


Masa pun fleksibel untuk urusan kerja seperti ini.






Berapa lama Sabrina mengambil masa untuk betul-betul membawa masuk ‘sales’ hasil penjualan penapis air ini?

Dalam enam bulan, saya berjaya meraih RM2000. Bulan seterusnya, naik ke RM6000. Setahun kemudian, pendapatan saya mencecah RM10,000 ke RM11,000 sebulan!

Angka ini membuatkan saya semakin ghairah untuk berusaha lebih gigih lagi. Saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya bulatkan semangat walaupun terpaksa heret anak-anak sekali ke pejabat dan bertemu pelanggan, saya gigihkan demi mendapatkan target saya.

Daripada hanya menjadi agen, saya dinaikkan pangkat ke Pengurus. Dan, insyallah tidak lama lagi sebagai Pengurus Senior pula.

Syukur sangat, kejayaan ini juga dapat saya kongsikan dengan melahirkan lebih ramai agen-agen dan pengurus-pengurus lain pula yang kini berada dalam kumpulan saya.

Saya memanjangkan rezeki dan kelebihan yang Allah beri kepada mereka.




Kredit foto: Sabrina Tajuddin





Apa yang mula-mula Sabrina lakukan sebaik pendapatan mula bercambah tanpa henti?

Sudah menjadi hajat saya dari dulu lagi, selalu saya cakap kepada suami, kalau ada rezeki lebih, kita mesti dulukan untuk selesaikan hutang dunia.

Alhamdulillah, tahun pertama saya mampu selesaikan hutang MARA, pinjaman peribadi saya dan yang lain-lain. Tahun ke dua pula, hutang suami juga saya bantu selesaikan.

Tiga akaun kad kredit dia berjaya ditutup. Kemudian, saya tunaikan hajat yang sudah lama disimpan dalam hati, kami sekeluarga bersama mak mertua dan anak buah ke tanah suci mengerjakan umrah.

Allahuakbar, satu demi satu hajat dan impian saya Allah tunaikan. Terkadang rasa malu dengan nikmat-Nya ini.





Apa lagi kejayaan dan impian Sabrina yang berjaya diraih setelah berjaya beroleh pendapatan lima angka sebulan itu?

Saya mampu terbang ke mana saja yang saya mahu. Bukan angkuh tapi inilah nikmat Allah yang telah dijanjikan hasil usaha daripada perniagaan. Bukankah sudah diberitahu, rezeki itu sembilan per 10 adalah daripada perniagaan.

Saya mahu menjadikan bercuti ke luar negara sebagai rutin tahunan saya sebanyak dua kali setahun. Sekali bersama keluarga dan sekali bersama kawan-kawan untuk ‘me time’ kata orang.

Inilah caranya saya meraikan diri dan keluarga tersayang. Seronok apabila dapat menunaikan impian anak-anak yang mahu rasa memegang salji.

Kalau dulu, mahu belikan toys pun tak mampu. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.

Beberapa tahun selepas itu juga, saya berjaya membeli rumah di Johor yang berharga lebih RM800,000 dan baru-baru ini kereta impian iaitu, Mercedes Benz !250 AMG Line berjaya dimiliki, tapi masih hutang banklah, hahaha...


Kredit foto: Sabrina Tajuddin




Tidakkah Sabrina rasa semua nikmat yang dimiliki hari ini bagaikan mimpi?

Ya Allah, benar! Setiap kali celik mata daripada tidur, saya seperti tidak sangka dengan apa saya kecapi hari ini. Saya toleh ke wajah anak-anak di sebelah, inilah hasil kekuatan kamu kepada Umi dan Abi.

Mungkin inilah juga hasil tuaian daripada kesabaran menahan ujian yang diberi. Nikmat Allah yang mana lagi yang ingin aku dustakan?

Semoga semua harta dunia ini menjadi asbab yang baik untuk memudahkan jalan kami ke syurga.




Kredit foto: Sabrina Tajuddin





Apa amalan yang Sabrina percaya untuk melancarkan urusan dan memurahkan rezeki?

Jika kita seorang isteri, saya sangat percaya pada keberkatan redha suami itu. Apa pun yang kita buat mesti melalui redha suami, mak ayah dan mertua. Jangan sesekali berahsia dengan suami.

Tidak mengapa untuk berkongsi berapa pendapatan kita, berapa simpanan? Jujur sahaja. Malah, saya sendiri berkongsi dengan mertua berapa yang saya dapat setiap bulan.

Memang, dulu ada juga rasa takut-takut. Yelah, nanti kalau orang tahu, orang nak pinjam ke apa. Tetapi, sekarang saya lebih berlapang dada. Kena positif dan sentiasa bersangka baik.

Lagi satu yang selalu saya amalkan, sesekali apabila lihat anak-anak sedang main, panggil mereka dekat dengan kita.

Ajak dia menadah tangan untuk sama-sama doa. Selalu saya ajar anak berdoa, “Ya Allah, murahkanlah rezeki umi dan abi...” Aminkan bersama-sama. Doa anak-anak ini tiada hijabnya.






Apa yang menjadi azimat Sabrina waktu susah dulu untuk mengubah kehidupan?

Anak-anaklah paling utama. Tidak sanggup melihat mereka susah. Lagi pula, ketika saya bekerja dulu saya berikan wang kepada mak dan ayah setiap bulan.

Apabila saya berhenti, saya jadi susah hati kerana tidak dapat lagi memberi mereka wang secara tetap. Inilah antara faktor penguat yang buat saya ‘push’ diri untuk berusaha.


Kredit foto: Sabrina Tajuddin






Bukan mudah untuk menjual sesuatu produk itu, apa yang Sabrina lakukan dalam keadaan tertekan atau sales menjunam?

Kembali muhasabah diri. Produk sudah bagus, cara berniaga sudah betul, apa lagi? Carilah kesilapan sendiri.

Suami selalu kata, cuba selidik balik solat awak, mungkin ada cacat-cela di mana-mana, perbaikinya. Saya juga ingin bagi tips, kalau mahu menjual produk kita itu jangan sesekali buruk-burukkan produk pesaing.

Cukuplah dengan meyakinkan pelanggan dengan kelebihan yang kita ada.



Baru 32 tahun, tetapi sudah miliki segalanya. Apa lagi impian Sabrina pada masa akan datang?

Kalau dizinkan Allah, saya mahu menunaikan haji dalam usia muda. Saya juga mahu melanjutkan pelajaran ke Master. Tapi, nanti dululah kerana sekarang memberi laluan kepada suami yang juga sedang menyambung Master.

Insyallah, aturan Allah itu indah dan penuh hikmah. Sekarang pun, suami sudah berhenti kerja untuk fokus kepada pelajarannya, dan melakukan penjualan penapis air secara sambilan.

Walaupun secara sambilan, gajinya seumpama bekerja penuh! Syukur dengan segala yang Allah anugerahkan kepada kami sekeluarga.





Kredit foto: Sabrina Tajuddin