Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Personaliti

Para Isteri Jangan Tunjuk Pandai Sangat, Semua Benda Boleh Buat Sendiri. Takut Nanti Suami NAIK LEMAK

Penulis Jemputan 10/02/2021 | 01:14 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib
Pesan orang tua-tua jika sudah berkahwin, sama-samalah bantu suami uruskan kerja rumah dan segala hal rumah tangga. Namun, terselit juga pesanan lain berbunyi, ‘Simpan sikit cerdik kamu urus rumah tangga, nanti lemak suami kamu sampai satu kerja pun tak tahu nak dibuat, kamu juga yang penat,’.
Bukan mahu berkira dengan suami tetapi sebagai perempuan, seharian menguruskan kerja rumah, membasuh, melipat pakaian sehingga urusan menjaga anak, membeli barang dapur dan membaik pulih kerosakan rumah, jika kita seorang saja melakukan, mana pula tanggungjawab suami?
Jika sama-sama melakukan dan ada pembahagian tugas, ia lebih adil dan mudah diuruskan.
Kadangkala bukan suami tidak mahu lakukan atau rasa malas, tetapi kita sendiri yang sudah mewujudkan budaya semua kerja selagi terdaya, biar isteri yang lakukan. Tidak kurang isteri yang tidak berani melepaskan tugasan di bahu suami, bimbang tidak menjadi.
Selagi ada sikap tidak percaya ini, selagi itulah suami tidak tahu apa mahu dilakukan dan anda menanggung bebanan seorang diri.
Biasanya di awal perkahwinan, masih berdua dan tidak punyai anak, ia mungkin tidak memenatkan tetapi jika sudah memiliki anak ramai, wanita akan rasa penat dan mulalah timbul kemurungan.
Kredit foto: Google
Manjakan Suami Tiket ke Syurga?
Ini mungkin salah anda juga kerana daripada awal perkahwinan terlalu ‘memanjakan’ suami untuk mendapat tiket isteri solehah.
Sebenarnya, lebih baik urusan seperti membaiki paip, mengecat rumah, membeli gas yang kehabisan dan tugasan yang memerlukan tenaga lelaki suami yang lakukan dan bukan anda.
Ini kerana kebanyakan lelaki ada kemahiran seperti ini dan anda sebagai wanita terus praktikkan kemahiran anda ada seperti memasak, mengemas rumah atau pun mendidik anak.
Dikhuatiri, sehari isteri jatuh sakit, suami yang tidak panda berdikari ini mula jadi kelam kabut.
Silap-silap hidupan gas dapur mahupun bekas beras pun tidak tahu di mana letaknya. Ini memang realiti yang berlaku dalam hubungan rumah tangga yang tiada keseimbangan dan hanya berpaksikan tenaga dan perhatian isteri saja.
Lebih afdal, jika suami adalah ‘king’ dan anda ‘queen’ yang melengkapkan hubungan suami isteri dan bukan sebaliknya. Oleh itu, isteri janganlah tunjuk cerdik anda sangat dan simpan sedikit untuk suami buat untuk kecemasan di masa hadapan.
Jika anda terlampau cerdik dalam urusan rumah tangga, semua urusan rumah tangga nanti hanya terpikul di bahu anda saja.
Ini tidak bermakna anda tidak boleh melakukan tetapi elok saja berada dalam mood ‘standby’. Anda ada kemahiran tetapi simpan saja dan gunakan saat diperlukan dan bukan setiap masa. Beri suami peluang untuk melakukan tugasan juga terutama hal membabitkan kerja berat dan kasar.
Cuba lihat di sekeliling kita, isteri yang penat dan murung dengan hal kerja rumah tidak habis-habis, kebanyakan terdiri dalam kalangan a mereka yang tak putus-putus melakukan kerja rumah sendirian tanpa bantuan tenaga daripada suami.
Daripada hal anak, urusan persekolahan, hal kecemasan seperti kereta rosak sehingga kepada soal kewangan, semuanya terletak di atas bahu sendiri dan pada masa sama anda juga kena fikirkan penyelesaian bagaimana mencukupkan apa yang kurang dalam rumah tangga.
Suami pula hanya bertindak memberi dan cukup atau tidak, semua idea dan pelaksanaan daripada anda.
Jadi, pura-puralah menjadi wanita kurang cerdik sedangkan anda memang sudah cerdik segala hal. Soal urusan rumah tangga, anda hanyalah orang kedua selepas suami melakukan supaya mereka ada wawasan diri dan lebih bersifat ringan tulang.
Kredit foto: Google
Kalau Harapkan Suami, Semua Bertangguh
Ada seorang teman, daripada A hingga Z urusan rumah tangga semua dia yang lakukan. Setiap bulan suami tidak culas memberi duit perbelanjaan rumah dan semuanya diuruskan sendiri.
Membayar bil – bil rumah, belanja barang dapur, membayar komitmen bulanan sehingga mencari kontraktor membaiki kerosakan rumah pun, dia yang mengusahakan sendiri.
Katanya, jika harapkan suami, nanti semua benda jadi lambat atau tidak terbuat, lebih elok dia usahakan sendiri.
Sehingga satu hari dia demam berhari-hari dan tidak larat bangun, urusan anak dan semua hal tergendala. Mulalah suami jadi ‘blur’ dan tidak tentu arah. Bukan tidak mahu membantu isteri, tetapi tidak tahu mahu mula daripada mana.
Sejak hari itu, teman penulis mula perlahan-lahan mengajar dan mendedahkan suami apa yang dia lakukan setiap hari dan setiap bulan untuk kesejahteraan rumah tangga mereka.
Syukur, suaminya bukan jenis keras kepala dan mahu belajar. Sekarang dia lakukan apa saja perkara dengan prinsip suami buat dahulu dan dia hanya pendukung di belakang suami.
Oleh itu, wanita jika sayangkan suami sekalipun, lepaskan sedikit untuk suami memimpin keluarga dan beri ruang untuk mereka melaksanakan tugasan sebagai pemimpin keluarga.
Bimbang jika terlalu dimanjakan sehingga semua hal anda lakukan sendirian, mereka lupa sifat kepimpinan dan amanah mereka sebagai suami dan ayah.
Kredit foto: Google
Panduan Jadi Wanita Hebat dan Pelengkap Kepada Suami
Sentiasa Ada Saat Senang Dan Susah
Isteri yang baik dan solehah, adalah isteri yang melengkapkan kekurangan suami dan mampu berada bersama suami saat mereka susah. Hargai suami dengan kasih sayang anda dan pastinya mereka akan merasai keikhlasan anda sebagai pasangan.
Pendengar Setia
Jadilah pendengar setia kepada suami saat mereka mempunyai masalah atau stress. Jadi apabila mereka susah hati, merekaakan mencari anda dan bukan orang lain. Suami yang cintakan isteri adalah mereka yang memiliki isteri yang setia mendengar segala permasalahan mereka.
Terima Kekurangan Pasangan
Setiap pasangan ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Beruntungbagi isteri yang melihat kekurangan suami sebagai bukan perkara untuk dibahaskan tetapi untuk diperhalusi dan diperbaiki.
Isteri yang baik akan bersabar dan pada masa sama mengajar suami melalui teladan dan bukan kata makian.
#Gaya Hidup #Suami #Manja
;