Sembilan daripada 10 cabang rezeki hadirnya adalah daripada bidang perniagaan. Ya, dalil ini bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat kita kerana ia diperkuatkan lagi dengan sepotong hadis yang bermaksud “Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki.” Juga daripada maksud sebuah hadis yang lain pula, “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan.”


Kredit Foto: IG Aliffsyukriterlajaklaris


Dari dahulu lagi Rasulullah SAW menggalakkan kita berniaga. Nak tahu kenapa? Ada keberkatan didalamnya apabila diusahakan dengan cara yang betul, patuh syariat, hindari riba dan apa jua yang berkaitan dengannya. Malah lebih berkat rasanya apabila ia diusahakan bersama suami isteri.

Mungkin tak semua konsep atau asas perniagaan sesuai diterapkan dalam perkahwinan. Tetapi ada rasionalnya jika ia dipraktikkan dengan pendekatan yang betul. Mahu tahu apa kelebihan dan kekurangan menjalankan perniagaan bersama pasangan?

Kelebihannya…:
  1. Tiada Rasa Curiga atau Cemburu
Sementelah mengusahakan perniagaan bersama hingga boleh dikatakan sentiasa bersama, maka tiada istilah mahu sembunyikan apa-apa dari pasangan. Tak perlu susah-susah reka cerita atau karang WhatsApp nak mengaburi pengetahuan pasangan. Kawan suami juga sudah menjadi kawan anda. Kan lebih senang?


Kredit Foto: IG Puanfelinna
  1. Anda Lebih Memahami Pasangan
Mengusahakan perniagaan bersama bukan calang-calang hebat dugaannya. Kalian akan diuji dengan pelbagai masalah, cabaran dan ujian. Daripada siri ujian inilah yang akan membuatkan kalian lebih memahami sesama sendiri. Adakah suami anda seorang yang penyabar, bijak menangani masalah atau sebagainya. Atau adakah isteri anda seorang yang terburu-buru membuat keputusan, banyak dipengaruhi emosi dan lain-lain; saat kalian uruskan perniagaan lah baru dapat selami hati budi dan cara kerja masing-masing. Percayalah, andai kalian punya persefahaman dan fokus kepada hala tuju yang sama, pasti kejayaan dalam genggaman.
  1. Kepercayaan
Benar, apabila mengusahakan perniagaan bersama maka antara kalian tiada lagi rahsia. Sedangkan sememangnya itu yang dituntut dalam perhubungan suami isteri. Aliran keluar masuk wang tunai, keuntungan, kerugian, perbelanjaan semuanya dalam tangan masing-masing kan? Jadi, secara tidak langsung kalian akan lebih menghargai kepercayaan yang diberi sesama sendiri.


Kredit Foto: IG Bellealyahya
  1. Masa Bersama
Boleh dikatakan suami isteri yang mengusahakan bisnes bersama mempunyai kelebihan dari segi masa. Yalah, 24 jam sehari sepanjang minggu kita sentiasa di depan mata pasangan. Maka dengan itu manfaatkan kelebihan ini sebaik mungkin. Tetapi itu tidak bermakna suami atau isteri boleh sewenang-wenangnya mengambil kesempatan. Jangan campur adukkan urusan keluarga atau peribadi dalam waktu bekerja. Cuba hormati suami atau isteri yang berperanan sebagai rakan kongsi atau pengasas syarikat.
  1. Rasa Selamat dan Terlindung Aje
Dek kerana uruskan bisnes bersama, secara tidak langsung suami turut memainkan peranan sebagai bodyguard isteri. Ke mana jua pergi sentiasa bersama kan, jadi tak perlu takut atau khuatir mengenai keselamatan diri. Kalau meeting waktu malam pun tiada hal kerana suami ada menemani.

Kekurangannya Pula…
  1. Terbawa-bawa Sampai Ke Rumah
Seeloknya soal kerja janganlah dibawa sampai ke rumah hatta di atas katil pun. Cuba letakkan ruang atau sempadan masa dan tempat tidak terlalu fokus kepada perniagaan semata-mata. Seimbangkan kedua-duanya.


Kredit Foto: IG Syafiqahaina
  1. Ujian Bisnes dan Rumahtangga
Jika pasangan lain hanya diuji dengan masalah dalam rumahtangga. Tetapi bagi pasangan yang menguruskan perniagaan bersama ini, bagaikan berganda ujiannya. Jika diuji dengan masalah dalam rumahtangga, usah terbawa-bawa emosi itu ke pejabat atau dalam perniagaan. Kawal emosi dan bertindak secara rasional dan profesional. Baik suami mahupun isteri, keduanya sudah cukup matang. Takkan nak bergaduh depan staf pula?


3. Terbawa Urusan Peribadi Dalam Soal Bisnes

Pasti sukar buat suami mahupun isteri andainya terperangkap dalam perselisihan faham yang berlanjutan dalam urusan perniagaan. Lebih malang lagi jika salah seorang atau kedua-duanya gagal mengawal emosi lantas bertindak tidak profesional. Mulalah episod ungkit-mengungkit dan mungkin secara tidak sengaja membuka aib pasangan, nauzubillahiminzalik. Justeru, jika ada masalah bawalah berbincang. Atau jika terlaku sukar, cari orang tengah untuk meleraikan kekusutan kalian.


Kredit Foto: IG Bizmillatravel

4. Susah Seimbangkan Peranan

Jika di pejabat, merekalah rakan kongsi atau pengarah dan presiden misalnya, tetapi di rumah sewajarnya jawatan itu dilucutkan sementara kerana secara naturalnya sememangnya mereka adalah suami dan isteri. Jika terbawa-bawa peranan dan jawatan yang dipikul dipejabat ke rumah, mungkin sukar bagi pasangan untuk seimbangkan peranan. Sebaiknya, isteri janganlah terlalu bossy atau suami menunjukkan kuasa veto. Fikir secara rasional dan profesional untuk berhadapan dengan apa jua masalah. Pasti ada nilai tambah andai kedua-dua peranan ini diuruskan dengan baik.


Solusinya usah khuatir. Jika kalian sudah punya niat mahu buka perniagaan dan usahakan bersama pasangan; teruskan saja. Dapatkan nasihat dan panduan daripada mereka yang berpengalaman sebagai langkah bersiap siaga. Barulah kalian lebih bersedia daripada segi mental, fizikal dan sebagainya untuk memulakan langkah seterusnya. Semoga berjaya!