Sekilas
- Azharina menjelaskan kenyataannya mengenai tindakan pertama jika menjadi menteri adalah untuk membersihkan dan membasmi pendatang asing tanpa izin di Sabah.
- Beliau turut menyorot isu sosial seperti penagihan dadah, kebersihan, dan masalah utiliti yang masih belum selesai di negeri itu.
- Azharina berharap calon dan pemimpin yang dipilih pada PRN Sabah dapat membawa perubahan positif demi kemajuan negeri dan rakyat Sabah.
Penyanyi kelahiran Sabah, Azharina tampil menjelaskan kenyataannya yang tular baru-baru ini mengenai tindakan pertama yang akan dilakukan sekiranya memegang jawatan menteri.
Kata Azharina, pandangan itu merupakan jawapan kepada persoalan yang diajukan kepadanya oleh rakan media mengenai perubahan yang ingin dibuat sekiranya dilantik menteri susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November nanti.
“Pada masa itu saya ditanya, kalau saya jadi menteri, apa yang saya nak buat dulu? Siapa yang kenal saya pasti tahu saya seorang yang lantang.
“Saya Sabahan. Pertama sekali saya nak bersihkan dan basmi pendatang asing tanpa izin yang ada banyak di Sabah. Siapa yang pernah pergi Sabah mesti tahu... berlambak dekat tepi jalan, minta sedekah, ketuk tingkap. It’s a very bad image untuk orang Sabah,” ujarnya kepada Gempak.
Azharina ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya bersama penyanyi Singapura, Nana Karia berjudul Biar Gambar Bicara di Kuala Lumpur pada Isnin.

Katanya lagi, isu itu bukan perkara baharu dan sering tular di platform media sosial.
“Kita nampak masalah sosial di Sabah seperti penagihan dadah dan hisap gam secara terbuka.
“Selain itu isu kebersihan dan masalah utiliti seperti elektrik dan air yang tak pernah habis,” katanya lagi.
Azharina menegaskan jawapannya tidak mewakili mana-mana pihak, tetapi lahir daripada rasa prihatin sebagai rakyat Sabah.
“Kita sebagai orang muda nak perubahan. Saya cakap bukan sebagai wakil rakyat, saya tak layak. Saya cakap sebagai anak Sabah yang mengharapkan perubahan.
“Saya harap calon yang buat kerja akan memimpin ambil teguran ini sebagai satu hal yang positif dan memajukan negeri Sabah," tambahnya.
Azharina menambah, pembangunan negeri tidak boleh dinilai hanya pada kemunculan pusat komersial atau kemudahan bandar semata-mata.
“Saya nak tengok perubahan dari segi sosial... masalah sampah, pendatang asing tanpa izin, penipuan dan sebagainya. It’s a very bad thing.
"Kita Sabahan bangga dengan negeri kita dan kita ada banyak resources. Tapi kenapa rakyat kita antara tiga negeri termiskin di Malaysia?
“Saya cuma mengharapkan perubahan yang bagus untuk negeri saya. Itu saja," ujarnya.
Azharina dalam satu temubual sebelum ini berharap rakyat Sabah membuat keputusan yang betul pada PRN dengan memilih parti dan pemimpin yang diyakini mampu membawa perubahan kepada negeri berkenaan.