Sekilas
- Shila Amzah akan mengadakan konsert 'Shila Amzah Kita 25 Tahun Bersama' pada 15 Ogos di Arena Of Stars, Resorts World Genting dengan persembahan yang lebih aktif termasuk menari di atas pentas.
- Konsert ini turut menampilkan segmen khas penghormatan kepada tiga legenda muzik yang memberi inspirasi kepada Shila, iaitu Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Michael Jackson, dan Fish Leong.
- Shila memilih artis jemputan seperti Mimi Fly, Hael Husaini, DJ Fuzz, Balan Kashmir, dan Kidd Santhe untuk melengkapkan tema konsert 'Kita' serta mencuba elemen muzik hip hop.
Bakal mengadakan konsert pada 15 Ogos depan di Arena Of Stars, Resorts World Genting, Pahang, penyanyi Shila Amzah menjanjikan kelainan luar biasa untuk ‘Shila Amzah Kita 25 Tahun Bersama’.
Shila, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, berkata, dia berhasrat untuk menampilkan sisi berbeza yang jarang ditonjolkan kepada umum termasuklah beraksi lincah menari di atas pentas.
“Saya sebenarnya sangat suka menari. Jadi untuk konsert kali ini, saya mahu lebih banyak persembahan yang membolehkan saya bergerak aktif di atas pentas.
“Sering kali orang hanya mengenali saya dengan lagu-lagu galau, lagu berentak perlahan dan sebagainya.
“Namun sebenarnya, dari segi variasi vokal dan pergerakan sebenar, saya kurang mendapat peluang untuk menari sebelum ini,” katanya kepada Gempak.
Shila berkongsi perkara itu ketika ditemui di Sidang Media Shila Amzah Kita 25 Tahun Bersama di The Coffee Bean & Tea Leaf, Sierra Fresco, Puchong baru-baru ini.
Selain menari, penyanyi berusia 36 tahun ini juga bakal mendedikasikan segmen khas sebagai penghormatan kepada tiga sosok legenda muzik yang banyak membentuk dan menginspirasikan perjalanan 25 tahun karier seninya.
Tiga ikon muzik itu ialah Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Michael Jackson, dan bintang terkenal Taiwan kelahiran Malaysia, Fish Leong.
“Fish Leong merupakan seorang penyanyi legenda Cina yang sangat hebat dan telah berjaya membawa nama Malaysia sehingga ke Taiwan sejak era tahun 2000-an lagi.
"Bagi saya, sosok-sosok inilah yang betul-betul memberikan inspirasi kepada saya sehingga mampu bertahan ke tahap ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai pemilihan barisan artis jemputan, Shila memilih Mimi Fly, Hael Husaini, DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe kerana menganggap ia bersesuaian dengan tema konsertnya iaitu 'Kita'.
“Adalah sangat tidak wajar untuk kita tidak menampilkan rakan-rakan daripada golongan industri kita sendiri. Antara nama pertama yang terlintas di fikiran saya adalah Mimi Fly dan Hael Husaini.
“Manakala untuk DJ Fuzz dan abang Balan Kashmir dan Kiddsanthe pula, ia disebabkan saya mahu mencuba sesuatu yang baharu iaitu berada di dalam kelompok muzik hip hop. Ini adalah waktu terbaik untuk saya bereksperimen dan belajar banyak perkara baharu,” ujarnya.