Sekilas
- Jun Lojong berkongsi pengalaman mendalam ketika menjalani penggambaran di Penjara Ayer Molek untuk filem seram terbaharunya, Polong.
- Watak Maria Hadi yang dilakonkan Jun menuntut emosi kompleks dengan lapisan perasaan yang sukar ditonjolkan sepenuhnya kepada penonton.
- Filem Polong akan mula ditayangkan pada 28 Mei ini dan turut menampilkan pelakon popular seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, dan Nadiya Nisaa.
Pelakon, Jun Lojong berkongsi pengalaman peribadi ke Penjara Ayer Molek (Kota Jail), Johor Bahru bagi filem seram terbaharunya iaitu Polong.
Menurut Jun, pengalaman tersebut amat memberikan kesan mendalam buat dirinya sehingga memupuk rasa insaf.
"Bila berada dekat dalam jail tu memang ada rasa meremang. Kami memang masuk betul-betul sel yang terakhir.
"Rasa seram sejuk dan ada rasa sangat-sangat insaf sebab dekat dalam sel tu mereka tak buang banyak perkataan dekat dinding lagi," katanya kepada Gempak.
Jun berkata demikian ketika ditemui pada sidang media tayangan filem Polong di 10 Star Cinema, Hextar World Empire City, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Jun turut berkongsi terdapat beberapa tulisan asal banduan yang masih kekal di dinding penjara berkenaan sehingga memberi kesan emosi buat dirinya.
"Dekat sana ada yang 'mock up' tapi ada beberapa yang mereka pakai, memang tulisan banduan.
"Ada yang tulis macam 'mak tunggu aku akan balik', 'aku tak mahu buat lagi' dan sebagainya.
"Saya rasa macam insafnya, macam ni agaknya perasaan mereka," kongsinya.
Dalam pada itu, Jun turut mengulas mengenai wataknya iaitu Maria Hadi yang disifatkan amat mencabar kerana menuntut emosi yang pelbagai dan mendalam.
"Berat sangat, ada beberapa layer (lakonan) yang kena simpan tak boleh nak tunjuk 100 peratus kepada penonton.
"Apa yang paling mencabar bagi saya bagaimana mahu menggambarkan perasaan Maria yang dia simpan dalam diri dan tunjukkan pada luaran.
"Luar dia nampak gembira dan sentiasa tersenyum walaupun dia seorang banduan tetapi bahagian dalam ada banyak perasaan bercampur seperti kekesalan, kecelaruan dan banyak lagi.
"Tak boleh nak tunjuk di bahagian dalam sebab ada layer," ujarnya.
Isteri kepada pelakon Namron itu turut mengakui pembawaan watak dalam filem berkenaan ada kalanya membuatkan dia terbawa-bawa ke rumah.
"Bila dekat rumah kadang-kadang rasa ada benda yang memandang tapi saya cuba untuk tak berfikir sangat.
"Saya cuma rasa itu adalah perasaan saya," jelasnya.
Sekadar info, filem Polong akan mula ditayangkan pada 28 Mei ini dan turut dibintangi Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, Jun serta Nadiya Nisaa.