Sekilas
- Ozlynn Wati memilih untuk tidak mengulas lanjut isu permasalahan rakan baiknya, Azar Azmi, demi menjaga aib dan maruah semua pihak.
- Ozlynn pernah membantu Azar ketika dalam kesusahan dan menegaskan niatnya adalah untuk membantu sesama muslim, bukan untuk menunjuk kekayaan.
- Ozlynn menghormati privasi Azar dan tidak mahu membuka luka lama atau mencampuri urusan peribadi rakannya itu.
Pelakon, Ozlynn Wati memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu melibatkan rakan baiknya, aktres Azar Azmi kerana tidak mahu membuka semula luka lama.
Menurut Ozlynn, dia mengakui berasa sebak ketika melihat keadaan Azar pada waktu itu memandangkan mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.
“Sebenarnya saya tidak mahu mengulas mengenai perkara ini kerana ia agak sensitif. Saya sebenarnya mahu dia hidup dengan tenang dan gembira. Itu adalah ujian buat dia.
“Saya berada bersama dia sampai kami video call dan apabila melihat sendiri keadaannya, perkara itu membuatkan saya sebak sebab saya tahu bagaimana kehidupannya sebelum ini.
“Saya takut kalau saya buka balik kenangan lalu akan membuatkan dia teringat-ingat. Namun, saya mengharapkan yang terbaik untuk dia. Semua manusia mempunyai ujian yang berbeza. Saya pernah berada dalam fasa yang teruk. Jadi, saya tahu bagaimana rasanya bila ‘tiada’,” katanya kepada Gempak.
Ozlynn berkata demikian ketika ditemui di sidang media filem 5 Bomoh yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam masa sama, Ozlynn turut menegaskan bahawa niatnya membantu Azar bukanlah kerana mahu menunjuk kemewahan, sebaliknya ingin membantu sesama Muslim.
“Saya tolong bukan sebab saya nak menunjuk kekayaan tetapi saya anggap, sebagai hamba Allah yang juga pernah merasakan kesusahan, itu adalah tanggungjawab saya untuk bantu mereka. Bukan sebab dia adalah Azar Azmi. Kalau ada rezeki lebih, saya pasti akan kongsikan,” ujarnya.
Ditanya mengenai mengapa Ozlynn tidak mendedahkan situasi rakannya itu kepada umum, Ozlynn berkata dia mahu menjaga air muka Azar dan tidak mahu mencampuri urusan orang lain.
“Saya perlu jaga aib, maruah dan banyak pihak. Saya tak suka orang bercerita mengenai saya sebab itu saya tak buat benda yang sama. Saya jaga harga diri sahabat saya. Tapi kalau dia yang buka sendiri, itu antara dia. Saya tak mahu membukanya.
“Kami mempunyai pengurus yang sama. Jadi, keberadaan dia saya tahu. Ketika itu memang kucar-kacir. Saya lebih suka jaga keluarga saya dan tidak suka sibuk dengan masalah orang. Yang penting bila orang perlukan bantuan,” kongsinya.
Terdahulu, Azar mendedahkan bahawa Ozlynn merupakan sahabat yang sentiasa ada bersamanya ketika dalam kesusahan dan pernah menghulurkan bantuan zakat kepadanya.