Skip to main content

"Memang Syarat Saya, Stylist Pun Dah Tahu Tudung Mesti Labuh Tutup Dada" - Elly Mazlein

Elly_tudung

Sekilas

  • Elly Mazlein kini memilih untuk berhijab labuh sebagai tanda peningkatan pemahaman dan komitmen terhadap tuntutan agama.
  • Pelakon dan penyanyi ini menetapkan syarat tudung labuh dalam setiap tawaran kerja dan mendapat sokongan penuh daripada produksi drama dan filem.
  • Perubahan imej Elly mendapat perhatian ramai selepas penampilannya bertudung penuh di pentas akhir Kilauan Emas 2025 baru-baru ini.

Pengacara, pelakon dan penyanyi Elly Mazlein menyifatkan perubahan imejnya (berhijab) hadir seiring peningkatan pemahaman terhadap tuntutan agama.

Kerap dipuji kerana tampil berhijab dan berpakaian menutup aurat secara sempurna, jelas Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, dirinya masih dalam proses pembelajaran dan tidak pernah menganggap diri sudah cukup sempurna dalam perjalanan hijrah.

“Alhamdulillah, tak ada apa pun. Bila saya berhijab, memang nak ikut syariah walaupun belum sempurna. Kita cuba dulu mana yang boleh sebab kita masih belajar.

“Ilmu ni datang sedikit demi sedikit jadi saya cuba jaga sebaik mungkin. Saya nak pakai apa yang buat saya selesa. Hari ini pun saya selesa bertudung labuh.

“Keluar rumah pun pilih tudung labuh sebab itu paling sesuai dengan saya. Terima kasih, kadang-kadang kata-kata itu jadi semangat untuk kita semangat nak jadi muslimah lebih baik,” katanya kepada Gempak.

Elly berkata, pemilihan tudung labuh kini bukan sahaja menjadi kebiasaan harian, malah menjadi syarat penting setiap kali menerima apa-apa tawaran kerja.

“Memang syarat saya. Kalau ada tawaran atau kerja, saya akan beritahu awal ‘stylist’ bahawa tudung mesti labuh menutup dada.

“Saya pilih bawal sebab mudah untuk bekerja. Stylist pun saya maklumkan supaya apa jua gaya tetap tutup bahagian sepatutnya.

“Setakat ni semua hijab-stylist sangat bagus. Tak ada isu pun tentang tudung labuh akan menutup fesyen sebab saya memang selesa begitu,” jelasnya.

Ibu kepada dua anak itu turut bersyukur kerana setiap produksi drama dan filem memberi sokongan penuh terhadap pakaian yang dipilih.

“Baru-baru ni shooting pun semuanya okey. Mereka tak ada masalah dengan pemakaian saya.

“Saya pakailah jenis tudung macam mana pun asalkan labuh, mereka terima. Alhamdulillah, semua dipermudahkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Elly menarik perhatian ramai apabila muncul bertudung penuh di pentas akhir Kilauan Emas 2025 pada 4 Oktober lalu di Royale Theatre Shah Alam, menandakan perubahan besar dalam fasa baharu hidupnya.

Must-Watch Video

Advertisement