Sekilas
- Dalam episod kedua Bad Cop, Emir yang menyamar sebagai Imar menggunakan pendekatan tidak konvensional untuk menyiasat kes letupan bom kereta yang mengejutkan bandar.
- Hana, isteri Imar dan Ketua Polis, mula curiga dengan perubahan tingkah laku 'suaminya' yang menyebabkan ketegangan dalam rumah tangga mereka.
- Siri ini menampilkan Aiman Hakim dalam dua watak berbeza dan mengangkat isu sosial seperti penipuan identiti serta penderaan rumah tangga, mula ditayangkan 19 Disember 2025 di platform Astro.
Siri premium, Bad Cop semakin mencemaskan apabila Hana (lakonan Siti Saleha) seperti seakan-akan dapat menghidu rahsia terbesar Emir yang menyamar sebagai Imar (suami kepada Hana).
EP2: Letupan & Ketua Polis
Cabaran Profesional:
Emir yang kini menyamar sebagai Imar sekali lagi diuji apabila satu kes letupan bom kereta berprofil tinggi mengejutkan bandar. Tidak seperti Imar sebenar yang patuh pada protokol polis, Emir menggunakan ‘logik jalanan’ untuk menyiasat.
Pendekatannya yang luar biasa mengelirukan rakan setugasnya, namun teknik tidak konvensional itu berjaya membuka jalan kepada petunjuk penting dalam kes ini.
Ketegangan Rumah Tangga:
Namun ancaman terbesar terhadap penyamarannya bukanlah penjenayah—sebaliknya Hana (lakonan Siti Saleha), Ketua Polis serta isteri kepada Imar. Hana seorang yang tegas, bijak dan peka terhadap perubahan.
Dia mula sedar ‘suaminya’ bertingkah aneh. Walaupun pada awalnya Hana menyangka ia hanyalah kesan trauma insiden tembak-menembak sebelum ini, hakikat bahawa Emir tidak biasa dengan kehidupan rumah tangga Imar mencetuskan suasana janggal, penuh tekanan dan rahsia yang hampir terbongkar.
Konflik Peribadi:
Di sebalik ketegangan itu, Emir masih menyembunyikan kesedihan atas kematian kembarnya. Dalam diam, dia mula menyedari bahawa kehidupan Imar sebenarnya kucar-kacir—perkahwinan retak dan rahsia yang tidak pernah dia ketahui.
Emir kemudian membuat keputusan berani: dia bukan sekadar mahu bersembunyi, sebaliknya mahu menyelesaikan kes dengan caranya sendiri. Menggabungkan pengalaman dunia jenayah yang gelap dengan kuasa dan kedudukan Imar sebagai pegawai polis, Emir nekad memburu Tony Redza, ancaman besar yang terus menghantui hidup mereka berdua.
Astro Originals mempersembahkan siri premium terbaru, Bad Cop, adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman 2017 yang juga diadaptasi di India pada 2024.
Siri ini menampilkan Aiman Hakim yang membawa dua watak berbeza serta membawakan isu sosial seperti penipuan identiti dan penderaan rumah tangga dalam format case-of-the-week.
Bad Cop mula ditayangkan pada 19 Disember 2025 di platform OnDemand, sooka, Astro Citra dan Astro Ria dengan arahan Jason Chong dan showrunner Kavivarmen Vigneswaran.