Pelakon dan pempengaruh, Norreen Iman bersama suami, Raizi Razak dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu untuk prosiding tuntutan pengesahan lafaz cerai.
Norreen atau nama sebenar, Norreen Iman Abdullah, 32, yang sebelum ini menepis dakwaan rumah tangga bersama suami berantakan hadir bagi prosiding yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi tadi.
Prosiding itu berlangsung di hadapan hakim syarie, Nadiah Khamis
Pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Norreen selaku plaintif pada bulan ini.
Bagaimanapun, Norreen dan Raizi kedua-dua enggan mengulas ketika ditanya media mengenai keputusan prosiding hari ini selepas keluar dari dewan bicara pada kira-kira jam 1.30 petang tadi.
“Smile (senyum). Saya cuma rasa lapar saja sekarang ini,” katanya ringkas sambil berlalu pergi.
Menurut pemerhatian, pasangan ini hadir tanpa ditemani peguam syarie.
Sebelum ini, timbul dakwaan rumah tangga Norreen dan suami bergolak kerana tidak lagi berkongsi gambar dan kandungan bersama di media sosial.
Pada Ogos tahun lalu, Norreen mengakui hubungan mereka masih baik, cuma memilih untuk tidak berkongsi foto atau kandungan berkaitan suami dan keluarganya seperti selalu.
Norreen dan Raizi mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata.