Sekilas
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Ipoh, Perak.
- Lagu tema HKHM 2026 bertajuk Aku Berjanji nyanyian Faizal Tahir diperkenalkan dengan mesej perpaduan dan cinta negara.
- Pelbagai program patriotik dan aktiviti kesihatan diadakan, mengajak rakyat mengibarkan Jalur Gemilang dan menyokong sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Ipoh, Perak.
Sempena majlis tersebut, lagu tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 bertajuk Aku Berjanji, nyanyian Faizal Tahir, didendangkan buat julung kalinya kepada orang ramai.
Lagu ini membawa mesej kebersamaan, perpaduan dan semangat cinta akan negara dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air.
Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak itu dimeriahkan dengan persembahan pergendangan tradisional Melayu, Cina, India dan Gong Borneo oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selain persembahan koir lagu patriotik oleh pelatih ILKKM SAS bersama artis PENTARAMA JAPEN.
Pada sebelah pagi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah telah menyempurnakan pelepasan lebih 2,000 peserta Larian Patriot Merdeka.
Turut berlangsung ialah Program Kita MADANI yang menampilkan pelbagai pengisian, termasuk Pameran Kenegaraan JAPEN, Wellness on Wheels (WOW),Klinik Pergigian dan NADI on Wheels (NOW).
Program ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan.
MPBKKJG 2026 menandakan permulaan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
Sehubungan dengan itu, rakyat diseru agar bersama-sama menzahirkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing serta menyokong pelbagai program patriotik yang dianjurkan oleh kementerian, jabatan, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.