Sekilas
- Polong adalah makhluk halus kecil dalam kepercayaan Melayu yang disimpan dalam botol dan digunakan dalam ilmu hitam untuk mengganggu atau mencederakan orang lain.
- Kisah Polong terus hidup sebagai urban legend di Malaysia, termasuk cerita gangguan di rumah golongan kaya dan sekolah berasrama yang menimbulkan ketakutan serta gangguan emosi.
- Filem arahan Zulkarnain Azhar bertajuk "Polong" akan ditayangkan mulai 28 Mei 2026, mengisahkan wanita yang berurusan dengan ilmu hitam dan akibat pembalasan Polong yang dilepaskan secara tidak sengaja.
Dalam kepercayaan masyarakat Melayu, Polong sering digambarkan sebagai makhluk halus kecil berbentuk wanita yang disimpan di dalam botol dan digunakan dalam amalan ilmu hitam.
Ia dipercayai “diberi makan” darah oleh tuannya dan boleh dihantar untuk mengganggu atau mencederakan orang lain.
Namun, kisah Polong bukan sekadar cerita lama ia terus hidup dalam bentuk urban legend di seluruh Malaysia.
Antara kisah yang sering diceritakan ialah Polong yang disimpan di rumah golongan kaya.
Dalam versi ini, makhluk itu dipercayai disorok dalam botol kaca dan digunakan sama ada untuk perlindungan atau menyerang musuh perniagaan.
Namun, cerita ini sering berakhir dengan gangguan apabila Polong mula tidak terkawal dan menghantui penghuni rumah sendiri.
Di sekolah berasrama pula, muncul pula cerita gangguan misteri seperti histeria beramai-ramai, bunyi aneh pada waktu malam, dan penampakan bayangan kecil di dorm kosong.
Dalam kepercayaan lama, Polong dikatakan mampu meresap ke dalam tubuh manusia dan mencetuskan ketakutan serta gangguan emosi, menjadikan kisah ini terus berlegar dalam kalangan pelajar.
Lebih menyeramkan, terdapat juga naratif Polong yang berpaling tadah terhadap tuannya sendiri.
Dalam kepercayaan ini, jika tidak dijaga atau diberi “makan”, Polong boleh bertukar menjadi ancaman dan membalas dendam, seolah-olah mengingatkan bahawa ilmu hitam tidak pernah datang tanpa risiko.
Kisah-kisah seperti ini akhirnya terus diangkat ke layar perak melalui filem arahan Zulkarnain Azhar yang akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 28 Mei 2026.
Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Mimi Lana, June Lojong, Fad Anuar, Nadiya Nisaa, Namron, Amir Nafis, Riezman Khuzaimi dan Doy Rezwan.
Sinopsis:
Polong mengisahkan Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam dan dosa silamnya, namun berusaha mencari keampunan di penghujung hayat.
Namun, tindakannya melepaskan Polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya membawa kepada sumpahan balas dendam, apabila makhluk itu bangkit menuntut pembalasan dan diwarisi oleh keturunannya.