Sekilas
- Mojoku Hilang adalah filem romantik komedi yang santai dengan latar kampung Perlis, menonjolkan keindahan visual dan penggunaan dialek Perlis yang asli.
- Filem ini menampilkan pelakon berpengalaman dan Adipati Dolken dari Indonesia, dengan jalan cerita mudah difahami serta humor yang bersahaja.
- Selain hiburan, Mojoku Hilang menyampaikan mesej penting tentang mempertahankan tanah dan warisan, sesuai untuk tontonan pelbagai lapisan masyarakat.
Tidak semua filem perlu dipenuhi aksi mendebarkan atau jalan cerita yang rumit untuk menarik perhatian penonton. Ada kalanya, sebuah naskhah yang ringan, menghiburkan dan dekat dengan kehidupan sudah cukup untuk meninggalkan kesan. Itulah yang berjaya dilakukan oleh Mojoku Hilang.
Tampil ketika pawagam dibanjiri filem aksi dan seram, filem arahan Min Lim ini memberikan satu kelainan menerusi gabungan romantik, komedi dan kisah kehidupan masyarakat kampung yang cukup menyenangkan untuk ditonton.
Antara perkara yang paling mencuri perhatian ialah visual Perlis yang dipaparkan sepanjang filem. Sawah padi yang menghijau, jalan kampung dan suasana desa berjaya menjadikan negeri itu sebagai salah satu tarikan utama filem ini. Secara tidak langsung, Mojoku Hilang turut mempromosikan keindahan Perlis kepada penonton.
Selain itu, penulis juga menyukai keberanian filem ini menjadikan seekor lembu sebagai watak penting dalam penceritaan. Jarang sekali kita melihat filem tempatan yang memberi ruang kepada haiwan untuk memainkan peranan sebesar ini, sekali gus menjadikan Mojoku Hilang tampil dengan identitinya yang tersendiri.
Jalan ceritanya pula mudah difahami dan tidak terlalu berat. Setiap babak disusun dengan baik, manakala elemen humor yang diselitkan hadir secara bersahaja tanpa terasa dipaksa. Ini menjadikan filem ini sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan penonton, termasuk golongan muda.
Dari segi lakonan, gabungan pelakon berpengalaman seperti Wan Hanafi Su, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Aziz M. Osman dan Namron menjadi antara kekuatan utama filem ini. Gelagat mereka banyak menghidupkan suasana kampung dan mencetuskan momen-momen lucu yang menghiburkan.
Kehadiran pelakon Indonesia, Adipati Dolken sebagai Adi juga memberi satu warna baharu. Walaupun ada beberapa dialog bahasa Melayu yang kedengaran sedikit janggal, perkara itu tidak menjejaskan keseluruhan persembahannya. Malah, Adipati yang sememangnya terkenal dengan naskhah romantik komedi berjaya membawa watak Adi dengan baik.
Keserasiannya bersama Mimi Lana sebagai Ayu turut menjadi antara tarikan utama filem ini. Hubungan mereka berkembang secara sederhana dan tidak berlebihan.
Dalam masa sama, kisah Bibah lakonan Farah Ahmad dan Daud lakonan Haeriyanto Hassan turut mencuri perhatian menerusi gelagat romantik mereka yang lucu dan mencuit hati.
Satu lagi aspek yang wajar dipuji ialah penggunaan dialek Perlis. Penggunaan loghat Utara itu bukan sahaja menjadikan dialog lebih asli, malah memberi identiti yang kuat kepada keseluruhan penceritaan.
Di sebalik elemen komedi dan romantik, Mojoku Hilang turut membawa mesej yang baik tentang kepentingan mempertahankan tanah dan warisan. Mesej yang disampaikan juga terasa dekat dengan realiti masyarakat hari ini, menjadikan filem ini relevan untuk ditonton tanpa mengira zaman.
Secara keseluruhannya, Mojoku Hilang ialah sebuah filem romantik komedi yang ringan, menghiburkan dan mudah diikuti. Visual yang indah, penggunaan dialek Perlis serta lakonan yang bersahaja menjadikan filem ini mempunyai identitinya sendiri. Jika anda ingin menonton sesuatu yang santai tetapi tetap sarat dengan mesej, Mojoku Hilang ialah pilihan yang tepat .
Rating: 4/5
Mojoku Hilang mengisahkan Adi lakonan Adipati Dolken yang menyamar sebagai orang kampung untuk mendapatkan semula Mojo, seekor lembu yang menjadi rebutan selepas penduduk kampung bertindak 'menculiknya' bagi menghalang pengambilalihan tanah oleh sebuah syarikat.
Namun, misinya berubah apabila dia jatuh hati kepada seorang gadis tempatan yang paling lantang menentang syarikatnya sendiri.
Mojoku Hilang merupakan terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan Argo Films, dan bakal menemui penonton di pawagam bermula 23 Julai.