Hiburan
Anak Lelaki Pemain Drum Maut Lemas Diseret Ombak Di Bali
Pemain drum kumpulan Matta, Yadi Bachman sedang berdepan ujian berat selepas anak lelakinya, Kaisar Akira Ayman maut kerana lemas diseret ombak.
Insiden berlaku sewaktu Kaisar bersama 40 pelajar sekolah SMA IT Insan Sejahtera Sumedang sedang menikmati suasana dan keindahan pantai di Klingking Beach, Bunga Mekar, Nusa Penida, Klungkung, Bali pada 30 Oktober 2024.
BERITA TRENDING: Individu Selamatkan Enam Sekeluarga Lemas, Menggigil Lihat Kejadian Berlaku Depan Mata – “Dengar Tangisan Kanak-Kanak & Jeritan Minta Tolong”
Remaja tersebut meninggal dunia pada usia 16 tahun dengan mayatnya ditemui terapung 200 meter dari kawasan dia berenang oleh tim penyelamat sekitar pukul 9 pagi waktu tempatan, keesokkan hari.
Diketahui allahyarham mengikuti rombongan sekolah bersama teman-teman lain dari Sumedang ke Bali atas persetujuan keluarga.
Dia kemudian berenang di pantai tanpa mengetahui keadaan ombak yang tidak menentu sehingga menyeret dan membuatnya tenggelam.
“Kami pihak keluarga tidak menyalahkan pihak sekolah atau pengelola pelancongan.
“Kami juga tidak mahu tahu bagaimana kronologi berlaku sampai anak saya diseret ombak.
“Apa yang penting mayat anak saya telah ditemui dan kami membawanya pulang ke Sumedang lalu dikebumikan,” ujar Yadi seperti dilaporkan Detik.com.
Lebih memilukan, Yadi dan isteri telah kehilangan seorang anak lelaki, Argya Tetuka Avathara yang meninggal dunia usai berjuang melawan penyakit tumor otak pada Julai lalu.
Kini pasangan itu kembali berduka apabila kehilangan anak lagi hanya dalam tempoh beberapa bulan selepas kematian pertama.