Viral
"Lepas Saya Letak Tu, Tak Pernah Tengok Dah Sampai Sekarang" - Individu Dipercayai Penulis Surat Layang Kes Buli Arwah Zulfarhan Tampil Bersuara
Pemilik akaun Instagram, dipercayai individu yang pernah mengirimkan surat layang tentang kes buli bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tampil memuatnaik hantaran mengimbas kejadian yang berlaku sekitar tujuh tahun lalu.
Tulis mengendali akaun yang dikenali sebagai Aiman Aufa, dia sendiri tidak menyangka surat layang yang difahamkan telah ditulisnya itu sampai ke pengetahuan umum.
"Setelah hampir lapan tahun, ini kali pertama saya tengok semula surat ini. Selepas saya letak tu, tak pernah tengok dah sampai sekarang.
"Ni tak tahulah macam mana boleh sampai ke public. Apa-apa pun, Al-Fatihah buat keluarga arwah.
"Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, Allah penentu segalanya. Al-Fatihah," tulisnya menerusi hantaran di Instagram Stories.
Terdahulu, akaun media sosial individu terbabit menjadi tumpuan warganet selepas didakwa menjadi pihak yang bertanggungjawab menulis surat layang berhubung kes pembunuhan Allahyarham Zulfarhan.
Dipercayai surat layang itu diutuskan kepada pihak atasan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai usaha untuk memberitahu arwah telah didera dan dibuli oleh rakan-rakannya.
Difahamkan juga individu terbabit merupakan sahabat kepada Zulfarhan yang sama-sama menuntut di institusi berkenaan.
Rata-rata wargamaya meninggalkan ucapan terima kasih di ruangan komen selain memuji keberanian individu terbabit. Malah, tidak kurang juga yang memberi gelaran hero kepadanya.
Bagaimanapun, Gempak masih cuba mendapatkan respon lanjut daripada Aiman berhubung hantaran terbabit.