Laman Utama
#OhAbeNik: Selain Nia Ramadhani, Siapa Lagi Artis Indonesia Yang Pernah Ditangkap Kerana Kes Dadah?
NOTA: #OhAbeNik merupakan pandangan peribadi penulis dalam berkongsi tips atau ulasan tentang gaya hidup, hobi, fesyen, isu semasa dan kemahiran harian.
Isu dadah bukan perkara baharu dalam industri seni, malah semua sedia maklum bahana bahan terlarang kepada individu, keluarga atau institusi kemasyarakatan.
Najis dadah telah menjahanamkan kehidupan ramai artis dan secara tidak langsung memberi kesan terhadap progres karier mereka.
Terpalit dengan penyalahgunaan atau pengedaran bahan terlarang sekali gus membunuh karier dan kehidupan baik yang dibina serta mendatangkan persepsi negatif peminat masing-masing.
Baru-baru ini pelakon sinetron yang popular dengan naskhah Bawang Putih Bawang Merah, Nia Ramadhani ditahan pihak berkuasa dan mengaku menggunakan syabu sejak lebih lima bulan lalu.
Alasan klasik Nia dan suami, Ardi Bakrie, seperti yang dimaklum pihak berkuasa kepada media Indonesia, mereka tertekan dengan bebanan kerja ditambah pula situasi pandemik semasa.
Kesan daripada penggunaan bahan terlarang itu juga boleh dilihat daripada perubahan fizikal Nia, seperti yang dibongkarkan oleh netizen daripada hantaran Instagram Stories aktres itu sebelum ini.
BACA: Nia Ramadhani Mengaku Hisap Syabu Sudah 5 Bulan, Netizen Tepek Balik Gambar Muka Pucat & Cengkung!
Abe Nik senaraikan semula beberapa artis dari negara seberang yang pernah terkait dengan kes dadah sebelum ini.
1. Anji
Penyanyi terkenal Anji ditahan polis pada Jun lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Vokalis kumpulan Drive itu ditahan ketika berseorangan bersama sejumlah dadah jenis ganja.
2. Zulkifli Zivilia
Mac 2019 menyaksikan penangkapan vokalis Zivilia, Zulkifli kerana didapati menagih dan mengedar dadah.
Zulkifli ditahan bersama 9.5 kilogram syabu dan 24 ribu biji pil ekstasi.
Menurut pihak berkuasa, penyanyi lagu Aishiteru itu dikenakan hukuman penjara 18 tahun dan denda atas kesalahan itu.
3. Nanie Darham
Pelakon filem Indonesia, Nanie Darham ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai menjual dadah jenis kokain kepada pelanggan kelas pertengahan dan atas ada Februari 2020.
Bintang filem Air Terjun Pengantin itu mengedar kokain selama setahun dan menjual dadah berkenaan dengan harga tinggi sekitar 4 juta rupiah (RM1,208) untuk satu gram (g).
4. Ridho Irama
Anak Raja Dangdut Indonesia, Rhoma Irama, Ridho Irama ditangkap kali kedua atas kesalahan menagih dadah.
Ridho ditahan pada 4 Februari 2021 kerana memiliki dadah jenis ekstasi. Sebelum ini, dia ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu dan telah menjalani hukuman penjara 1 tahun 6 bulan pada 2017.
5. Lucinta Luna
Penyanyi Lucinta Luna juga antara yang pernah ditahan pihak berkuasa pada Februari 2020 atas penyalahgunaan dadah jenis ekstasi.
Kes penahanan transgender dengan nama asal Muhammad Fatah itu menjadi perhatian ramai apabila dia terpaksa ditempatkan dalam lokap berasingan dari banduan lelaki mahupun wanita.
Lucinta akhirnya ditempatkan di sel perempuan bagi mengelakkan dia menjadi perhatian serta dibuli.
Penyanyi lagu Bobo Di Mana itu dibebaskan selepas lebih setahun enam bulan ditahan.
Matlamat tidak menghalalkan cara. Terlibat dengan hal yang menjerumus ke arah kebinasaan hidup sangat tidak berbaloi.
Jadikan kisah-kisah yang berlaku ini sebagai iktibar buat semua.
Dadah musuh negara!
Foto: CNN, DetikHOT
#pelakon
#Penyanyi
#Viral
#Dadah
#Syabu
#Netizen
#Indonesia
#Artis
#Penjara
#Ganja
#Lucinta Luna
#Narkoba
#Kokain
#Rhoma Irama
#Denda
#PKP
#ridho irama
#OhAbeNik