"Saya tidak pernah berhenti belajar. Setiap hari saya belajar untuk memperbaiki diri," kata Fasha saat ditanya mengenai kemenangannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2017.
Tidak pernah ada kompromi dalam disiplin menjadi pegangan utuh wanita ini.
Sifat Fasha Sandha yang menjunjung tinggi disiplin dalam kerjaya seninya memang sudah diketahui.
"Saya terkejut dan tidak sangka menang sebab saya bertanding dengan sifu lakonan yang diketahui hebat. Saya banyak belajar daripada mereka.
"Saya hilang kata-kata dan memang tidak sediakan ucapan kemenangan. Bagi saya ini adalah rezeki yang sudah ditentukan buat saya," katanya kepada Rojak Daily Kaw!
Lebih manis, pencapaian itu adalah yang julung kali buatnya bagi kategori terbaik selepas lebih sedekad bergelar anak wayang.
Fasha yang menang menerusi drama Terima Kasih Ramadan berkata, tidak ada sesal di hatinya meskipun terpaksa menanti lama sebelum lakonannya diiktiraf oleh juri profesional.
"Seperti yang saya katakan tadi, semua ini rezeki. Saya percaya kita perlu melakukan sesuatu kerja dengan ikhlas dan jangan mengharapkan balasan.
"Anugerah yang diterima adalah bonus dan saya terharu kerana bakat saya dipandang dan diberikan anugerah ini," katanya.
Bercerita lanjut mengenai perasaannya yang memenangi anugerah itu, Fasha menguntum senyum puas dan bangga. Katanya selepas memenangi beberapa koleksi anugerah dalam kategori popular, akhirnya dirinya diperakui sebagai pelakon terbaik.
"Syukur dan ini rezeki untuk anak-anak saya. Perasaan berbaloi apabila saya perlu tinggalkan mereka apabila keluar bekerja.
"Drama ini juga menuntut saya bermain dengan emosi dalaman dan saya pukul diri saya sendiri untuk dapatkan rasa sakit," katanya.
Dia berkata pelakon juga sama seperti kerjaya yang lain dan anugerah adalah bonus seperti mana yang dinikmati oleh pekerja dalam sektor lain.
Ditanya mengenai kerjaya lakonannya yang sudah dilihat berada pada tahap berbeza, Fasha berkata jangan berhenti belajar dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
"Saya selalu ingatkan diri untuk belajar setiap hari tanpa pernah ada rasa jemu. Kena selalu berusaha memperbaiki diri setiap hari.
" Kita takkan pernah habis belajar dan memgapa malu atau lekas berpuas hati untuk memperbaiki diri," katanya.