Selepas hampir sembilan tahun bergelar ibu tunggal, Rojak Daily Kaw! percaya mustahillah kalau penyanyi dari Indonesia, Datuk Rossa tidak mempunyai pengganti. Kalau diteliti laporan arena hiburan di Indonesia yang dicari di Internet, bekas suaminya, Yoyo sendiri sudah sedia maklum siapa gerangan cinta hati bekas isterinya itu.

Ternyata lelaki istimewa yang berjaya mengetuk pintu hati ibu kepada anak lelaki bernama Rizky Langit Ramadhan berusia 10 tahun itu bukan penyanyi Afgan yang sering digosipkan dengannya. Bertemu Rossa yang akrab disapa Ocha sendiri tidak menafikan yang beliau sudah bertemu pengganti.

Ocha juga mempunyai koleksi kain dan rangkaian fesyennya sendiri. (Kredit Gambar: Mohamad Bakar)

“Kalau tanya sama ada saya sudah punya ‘steady boyfriend’ atau tak, ok jawapannya ya sudah ada. Bagi saya soal jodoh itu rahsia Allah. Doakan saya berbahagia,” kata penyanyi lagu Tegar dan Pudar itu.

Cuma katanya, dia tidak mahu terlalu galak bercerita hal peribadi yang belum pasti kesudahannya.

“Selagi saya belum sah berkahwin, apa sahaja boleh terjadi.

“Dahulu dengan bekas suami pun saya kekal dengan prinsip begitu. Jika betul-betul jodoh saya dengan lelaki yang istimewa ini, ia pasti dikongsi. Semua orang ingin bahagia dan disayangi bukan?,” katanya.

Rossa baru-baru ini turut muncul dengan koleksi Kain dan rangkaian fesyennya itu boleh dibeli di gedung fesyen, Pret A Porter di ibu kota. Rossa menjadi artis kedua dari Indonesia yang menyertai gedung fesyen berkenaan selepas Afgan ketika tampil dengan jenamanya Arez.Co. Jenama fesyen Kain beliau sudah lebih setahun wujud di Indonesia.