Menusuk kalbu. Itulah rasa yang menyelubungi jiwa saat mendengar alunan gemersik suara Dayang Nurfaizah kala mendendangkan medley lagu asli pada konsert sulungnya di Kota Singa.

Kemapuhan vokal dayang menyampaikan lagu Syurga Di Telapak Kaki Ibu, Selamat Tinggal Bungaku dan Fatwa Pujangga membuktikan kredibiliti wanita ini menyampaikan lagu asli.

"Terima kasih kepada semua, jujurnya Dayang buat keputusan untuk menyanyikan lagu ini kerana rasa tidak puas ketika menyampaikannya sebelum ini pada ABPBH lalu.

Ramai suka Dayang nyanyi lagu tradisional.

"Jadi bila buat konsert di Esplanade, Dayang buat keputusan untuk bawakan lagi sekali. Syukur ramai yang suka," katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini berkata, dia bermula sebagai penyanyi asli sebelum memilih genre yang lebih komersial sebelum ini.

Tambah penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Seandaianya Masih Ada Cinta ini, bapanya Awang Dowty dan keluarga memang meminati irama asli.

Perlu perancangan rapi.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, Dayang memang ada merancang untuk tampil dengan sebuah album lagu asli tidak lama lagi.

"Apapun semuanya memerlukan perancangan rapi kerana bukan mudah untuk dapatkan karya yang menarik dan berkualiti," katanya.

Gembira konsert sold out.

Bercerita pengalaman konsertnya di Singapura pada 1 Januari lalu, Dayang mengakui terharu dan teruja terutamanya apabila tiket konsert berkenaan sold out.

Lebih manis, penonton yang memenuhi ruang Dewan Konsert Esplanade setia lebih dua jam bersama Dayang dan penonton terdiri daripada pelbagai peringkat umur serta lapisan bangsa.

Dayang berkata, dia juga tidak menolak andai ada pihak yang sudi tampil menjayakan konsertnya di Malaysia dan bersedia bekerjasama.

Tak kisah digelar Ratu Soundtrack.

Sementara itu, penyanyi yang sudah melahirkan lapan album studio itu turut gembira apabila hampir kesemua lagu dalam album baharunya menjadi soundtrack drama.

"Sebab tu ramai yang gelar Dayang Ratu Soundtrack dan syukur sebab semua ini adalah rezeki," katanya.