Pelakon Idris Khan, 29, yang memilih wanita berasal dari Maghribi sebagai teman hidupnya, Sanaa Jeljalane, 26, mengesahkan mereka akan bernikah pada 20 Januari depan.

Mengikut perancangan asal mereka mahu memeteraikan ikatan suami isteri pada hujung tahun ini namun kerana proses dokumentasi membabitkan perkahwinan dengan wanita asing agak rumit, jadi mereka terpaksa akur majlis itu diadakan tahun depan.

Bernikah di Malaysia.

“Keluarga Sanaa turut membantu menyelesaikan segala urusan sebelum mereka datang ke sini,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Mereka juga pernah merancang untuk berkahwin di Maghribi tetapi selepas memikirkan banyak perkara dan mendapat nasihat keluarga, lalu mereka mengambil keputusan untuk bernikah di sini saja.

Rumit kahwin di luar negara.

“Proses bernikah dengan wanita asing agak rumit tetapi tak apalah asalkan tidak mendatangkan masalah pada kemudian hari.

“Jika saya bernikah di luar negara dan balik mendaftar di negara ini, ia lebih sukar dan membabitkan banyak pihak,” katanya.

Persiapan hampir siap.

Berkongsi kebahagiaan yang bakal dikecapinya itu, persiapan perkahwinan sudah 70 peratus siap membabitkan busana kahwin Sanaa, dewan dan prosuder perkahwinan. Dia juga akan menghadiahkan sebuah rumah untuk bakal isterinya itu.

“Oleh keluarga Sanaa tidak besar, kami akan mengadakan satu saja majlis di Kuala Lumpur yang menggabungkan dua budaya, Melayu dan Maghribi,” katanya.