KAW
Kenapa Hael Pilih Dayang Untuk Berduet Lagu Haram?
Selepas meledak dengan single Jampi tahun lalu hingga lagu berkenaan dinobatkan sebagai Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu ke-32, Hael Husaini kini mempertaruhkan lagu Haram.
Haram juga menyaksikan sekali lagi ciptaannya bersama Ezra Kong yang bukan lagi asing seperti lagu Jampi sebelum ini.

Istimewanya ia menampilkan Dayang Nurfaizah dan sudah diperdengarkan buat pertama kali menerusi Anugerah MeleTOP 2018 baru-baru ini.
Menurut penyanyi yang juga komposer terkenal itu, dia pada mulanya hanya mencuba nasib ‘merisik’ penyanyi wanita berkenaan untuk kerjasama dalam lagu ini. Risikannya mengena.

“Impian untuk berduet dengannya sudah lama saya simpan. Akhirnya ia menjadi kenyataan juga. Saya sangat bersyukur Dayang Nurfaizah dan pihak pengurusannya berbesar hati menjayakan projek istimewa ini. Walaupun berdepan dengan masa yang suntuk untuk merakamkan lagu ini, pihak mereka sangat profesional serta komited sekali sekali gus memudahkan semua.

“Video muzik lagu ini juga sudah siap dan bakal dilancarkan pada Jumaat ini di YouTube serentak di platform digital lain,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!
Ditanya mengenai pemilihan judul lagu itu, Hael atau nama penuhnya Hal Husaini Razmi berkata ia bersifat simbolik.

“Judul Haram itu hanya simbolik kepada keseluruhan kisah lagu ini. Ia lebih kepada menyuntik elemen dramatik. Cinta dalam gambaran lagu ini terlalu kuat, lalu mereka ‘haramkan’ hati dan cinta itu untuk singgah kepada orang lain.

“Cinta itu hanya milik mereka dan hanya mereka sahaja tahu. Itu sudah cukup bagi mereka. Begitulah yang saya cuba sampaikan dalam lagu berkenaan,” katanya.
Sisi lain, Hael juga sudah bergelar bapa segera kepada Helena kini berusia lebih sembilan bulan.
Must-Watch Video