Skip to main content

Market Trends

Kumpulan Nidji Digelar Raja Runut Bunyi

nidji-01.jpg

Sepanjang 15 tahun menceburi bidang seni, banyak lagu popular dihasilkan kumpulan ini dan lebih 30 buah lagu soundtrack dinyanyikan Nidji sehingga mereka digelar Raja Runut Bunyi di Indonesia. Lebih membanggakan apabila kebanyakan lagu yang mereka nyanyikan itu meledak di corong radio.

Dan filem yang menggunakan khidmat mereka itu juga bukan calang-calang kerana kesemuanya boleh dianggap sebagai karya terbaik.

Ada di antaranya diadaptasikan daripada novel paling laris jualannya seperti Laskar Pelangi dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Begitulah hebatnya Nidji sehingga diberi keistimewaan sedemikian. Bagaimanapun untuk sampai ke tahap itu, vokalis mereka Giring mengakui sangat cerewet dalam memilih lagu untuk mereka nyanyikan.

Nidji lancar album baru; Love, Fake & Friendship.

“Banyak kriteria yang harus diambil kira sebelum kami bersetuju untuk menyanyikan lagu untuk filem antaranya bagaimana jalan cerita filem itu, siapakah penerbit dan pengarahnya, siapa pelakonnya. Kalau filem itu dibikin berdasarkan novel, kami akan baca dulu novel dan skripnya.

“Jika pada awal bacaan sudah tidak menarik, kami tidak akan terima tawaran berkenaan. Sejujurnya, banyak juga tawaran yang kami tolak atas faktor-faktor yang kami sebutkan tadi,”katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Kehadiran Nidji ke ibu negara baru-baru ini juga bertujuan untuk melancarkan album baru mereka berjudul Love, Fake & Friendship. Menerusi album itu, Nidji turut merakamkan semula lagu Hancur Aku, nyanyian asal kumpulan Estranged dan Fazura. Bagaimanapun mereka mengubah suai sedikit dari segi susunan muzik dan juga lirik.

Rakam kembali lagu Estranged dan Fazura.

Mengulas lanjut perkara itu, penyanyi berambut kerinting ini meminta pihak supaya keputusan mereka merakamkan lagu itu tidak disensasikan.

“Pertama kali mendengar lagu ini, hati saya sudah tertarik kerana bagi kami, lagu ini cukup besar dan hebat. Untuk disesuaikan dengan pasaran di sana, kami mengubah sedikit lirik lagu ini daripada “Apa Khabar Teman” menjadi “Apa Khabar Mantan”. Rasanya lirik sebegitu lebih seseuai dengan cita rasa pendengar di sana dan kena dengan jalan cerita.

“Tak perlulah dibuat perbandingan kerana cara penyampaian kami memang berbeza. Sejujurnya kami memang mengambil masa yang agak lama untuk merakamkan lagu ini. Estranged telah menghasilkan sebuah karya yang luar biasa. Jadi ia menjadi cabaran buat kami untuk merakamkan semula lagu ini mengikut cara Nidji,”terangnya sambil memberitahu lagu itu turut dirakamkan secara paduan suara dengan bakat baharu bernama Dea.

Gembira selepas 15 tahun Nidji masih lagi diterima peminat.

Melewati angka 15 tahun terbabit dengan dunia showbiz, Nidji turut ditanya apakah pencapaian terbesar yang mereka peroleh sepanjang tempoh itu. Dengan penuh yakin, Giring memberitahu tidak ada yang lebih menggembirakan selain kehadiran mereka masih lagi diterima peminat.

“Bukan jualan tiket konsert yang laris menjadi ukuran atau jualan album yang banyak tetapi masih diterima peminat dan kesudian pihak media menemubual kami dan mengikuti perkembangan kami itulah yang kami anggap sebagai pencapaian terbesar sepanjang 15 tahun berada dalam dunia seni.

“Kami juga bersyukur kerana masih lagi diterima di Malaysia di saat kumpulan lain yang terdahulu dari kami sudah tidak kelihatan lagi di sini,”ujarnya dalam nada teruja.

Must Watch Video