Dua calon top 5, Anugerah Bintang Popular (ABP) BH 3.0 yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini, Neelofa dan Alif Satar mendominasi dengan pencalonan tertinggi sebanyak lima kategori. Neelofa cemerlang dalam dua kategori utama iaitu Pelakon TV Wanita Popular dan Pengacara TV Popular.

Pengacara MeleTOP di Astro itu juga dicalonkan peminat ke peringkat akhir dalam tiga kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama (Suri Hati Mr Pilot bersama Fattah Amin), Artis Berpengaruh di Laman Sosial dan Artis Sensasi. Persoalannya mampukah Neelofa mengekalkan gelaran Bintang Paling Popular yang diraihnya tahun lalu pada kali ini?

Sebahagian daripada artis yang tercalon dan akan membuat persembahan.

Sehingga kini ramai yang meramalkan gelaran berkenaan itu bakal beralih tangan kepada Fattah Amin yang sehingga kini terus mencipta fenomena dan digilai ramai. Namun keputusan muktamad hanya akan terjawab pada malam kemuncak ABPBH 3.0 nanti. Manakala Alif Satar yang mencipta sensasi tahun lalu menerusi drama Dia Semanis Honey bergandingan dengan Siti Nordiana mara empat kategori utama dan satu online.

Bapa kepada dua anak itu dicalonkan buat pertama kali di ABPBH 3.0 menerusi kategori Pelakon Filem Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular dan Gandingan Serasi Drama bersama Siti Nordiana menerusi drama Dia Semanis Honey (kategori online).

Rojak Daily Kaw! bertanya dua calon top 5 dengan highest nominations itu.

Neelofa yang baru-baru ini disenaraikan sebagai 300 individu berpengaruh di bawah usia 30 tahun di Asia pada 2017 oleh majalah Forbes itu hanya mahu mengekalkan momentum dan konsistensi dalam apa yang dilakukan sahaja.

"Tak wujud sebarang tekanan untuk menang atau sebaliknya di ABPBH 3.0. Saya hanya melalui dan menikmati momen indah ini tanpa sebarang justifikasi. Impak drama Suri Hati Mr Pilot yang saya raih sejak tahun lalu hingga kini memang menjadi momen magis. Ia bagaikan rahmat indah yang tak diduga. Ia membawa saya ke satu fasa baharu yang tak pernah saya rasa sebelum ini.

"Terima kasih buat peminat tersayang termasuk Lofattah (gabungan peminatnya dan Fattah). Terima kasih untuk lima pencalonan itu. Saya tak letak harapan menggunung. Saya percaya peminat sudah buat sehabis baik. Siapapun yang akan menang nanti, itu bukti dunia seni kita terus rancak dengan kehadiran bakat terbaik dan popular," katanya.

Artis-artis yang akan bersama ABPBH 3.0

Sementara itu, Alif sendiri agak terkejut kerana pencalonan top 5 yang diraihnya itu hadir di saat dia memasuki tahun ke 11 sebagai anak seni.

“Berita pencalonan ini benar-benar mengejutkan saya. Namun ia menjadi pemangkin semangat untuk saya terus berjuang di arena seni. Selama ini memang saya tak pernah jadi calon top 5 ABPBH 3.0. Tup tup, dicalonkan. Alhamdulillah. Selama ini pun saya tak pernah menghadiri acara ini. Bahkan selama ini pun saya tidak mengharap jadi popular, cukup saya dapat cari makan dan rezeki dalam dunia seni ini.

“Pencalonan top 5 ini sudah cukup besar ertinya bagi saya. Mengharap untuk menang itu jauh sekali,” katanya.

Mengikuti rapat di belakang kedua artis terbabit ialah Ayda Jebat dan Zizan Razak dengan empat pencalonan. Seterusnya, bintang sensasi, Fattah Amin dengan tiga pencalonan. Manakala artis seperti Erra Fazira, Siti Nordiana, Fazura, Siti Saleha, Johan, Shukri Yahaya, Izzue Islam, Syamsul Yusof, Mira Filzah, Aiman Tino, Khai Bahar antara yang mara dengan dua pencalonan.