Tahun lalu ketika Ramadan bertandang, pelakon dan pengacara manis ini menghabiskan masanya di lokasi penggambaran. Sepanjang bulan yang mulia itu, pemilik nama Mira Filzah hanya berbuka di lokasi penggambaran drama Meh Sandar Pada Aku yang sudah pun menemui penonton bulan lalu.
Justeru, untuk Ramadan tahun ini, Mira memberitahu Rojak Daily Kaw! yang dia akan berehat seketika daripada menjalani sebarang penggambaran atas permintaan ibu tersayang.

Advertisement
“Sepanjang bulan puasa tahun lalu, Mira banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran drama Meh Sandar Pada Aku di Terengganu. Memang tak ada masa langsung dengan family sehinggakan ibu saya bising. Jadi tahun ini, ibu Mira awal-awal lagi sudah berpesan supaya tidak mengambil sebarang tawaran berlakon dan meminta supaya saya berehat dan dapat menunaikan ibadah puasa bersama keluarga.

“Bagaimanapun saya tetap akan meluangkan masa untuk menghadiri majlis berbuka puasa dan juga aktiviti amal yang dianjurkan stesen berkenaan,” katanya ketika ditemui dalam majlis memperkenalkan dirinya sebagai Duta Ramadan Raya TV3 & TV9, yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Selain Mira, turut dipilih sebagai duta ialah Faizal Tahir, Aizat Amdan, Ayda Jebat, Elfira Loy, Redza Rosli dan satu-satunya atlit yang tersenarai, Zaquan Adha.
Bagi memastikan hasrat ibunya itu dapat dilaksanakan, pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman itu berusaha menyelesaikan segala kerja-kerjanya secepat mungkin.

“Hanya pada minggu pertama sahaja saya perlu habiskan baki penggambaran drama Jula Juli Bintang Cinta dan selepas itu saya free. Ada juga saya terima tawaran untuk sebuah drama bersiri namun saya terpaksa menolaknya,” kata gadis berusia 24 tahun ini.
Bercerita tentang pengalaman berpuasa, Mira berkata, dia mula belajar berpuasa penuh sejak di sekolah rendah.
Diajak mengimbau kembali kenangan berpuasa pada zaman kanak-kanak, Mira berkata tiada apa yang menarik kerana dia bukan seorang yang nakal.
“Saya budak baik dan tak pernah ponteng puasa pun. Curi-curi makan pun tak pernah. Jadi cerita puasa saya masa kecil agak boring,” katanya sambil tersenyum.

Bercerita mengenai persiapan raya yang bakal menjelang dalam tempoh tiga minggu lagi, pelakon yang meletop menerusi drama Cinta Si Wedding Planner ini berkata dia tidak sabar untuk melaram dengan 20 helai pakaian.
“Raya kali ini agak meriah sedikit kerana saya ditaja oleh jenama tekstil terkenal, Ariani Ready To Wear. Bolehlah saya gayakan untuk ke rumah saudara mara dan juga ke majlis rumah terbuka. Sebelum ini memang pening kepala jugalah nak fikir pasal baju. Dan paling penting, saya tak perlu nak keluarkan belanja lebih semata-mata untuk bergaya,” ujarnya.