KAW
Muncul Solo Di Gema Gegar Vaganza, Azmi Rancang Tinggalkan Caliph Buskers?
Kerap diajukan undangan untuk tampil sendirian tanpa kehadiran anggota Caliph Buskers yang lain membuatkan ada pihak menganggap Azmi Saat mengatur perancangan bergerak solo.
Enggan membiarkan tanggapan orang luar menjadi semakin melarat, penyanyi berusia 29 tahun itu mengakui berdepan dengan rakan-rakan sekumpulannya demi mengelakkan timbul salah faham.
Hakikatnya, langsung tidak pernah terfikir untuknya meninggalkan Caliph Buskers apatah lagi persahabatan mereka terjalin sejak sama-sama ‘busking’ sebelum dikenali ramai.

(Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)
“Memang saya akui walaupun lima rakan lain memahami situasi penganjur, saya tidak mahu perkara ini dipandang ringan semetelah lagi kami sudah lama berkawan.
“Kadangkala penganjur tidak dapat mengundang kesemua kami disebabkan isu bajet selain ada yang lebih suka mengambil kumpulan dengan vokal harmoni bukan pemain muzik.
“Jadi apabila permintaan sebegini diajukan, saya sendiri rasa berbelah bagi. Mujur teman-teman lain faham, cuma saya juga perlu memberikan penjelasan,” katanya.
Selain Azmi, Caliph Buskers yang mula diperkatakan ramai sejak muncul di Anugerah Juala Lagu (AJL) ke 29, dua tahun lalu membawakan lagu Romancinta turut dianggotai lima pemuzik.
Sementara itu, Azmi yang turut dipilih menyertai dalam pertandingan realiti, Gema Gegar Vanganza (GGV) anjuran Astro Oasis turut mengakui mengambil masa seminggu sebelum memaklumkan kepada rakan sekumpulan.

(Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)
Katanya, beliau enggan mahu rakannya terasa hati memandangkan penganjur tidak membuka tawaran kepada band yang bermain instrumen.
"Syukur, teman lain juga memahami hasrat saya memasuki pertandingan, yang bakal bermula pada 8 April, untuk menyahut cabaran, bukannya hendak bergerak solo.
"Apa pun, keutamaan saya tetap terhadap Caliph Buskers. Saya sudah tegaskan tidak mungkin meninggalkan kumpulan ini," katanya selepas sesi memperkenalkan peserta GGV musim pertama.
Selain Azmi, sembilan lagi penyanyi daripada pelbagai genre dan generasi menyertai rancangan terbabit, termasuk Hafiz Hamidun, Ana Raffali, Bienda, Izam EYE serta Wani.

(Kredit Gambar: Chempaka Nur Iman)
Empat lagi penyertaan membabitkan kumpulan iaitu Hijjaz, Saujana, Mirwana serta UNIC, namun semua peserta akan diadili sama rata oleh tiga juri profesional.
Sementara itu, Azmi berkata, beliau baru selesai menjalani rakaman single bersama Edry Abdul Halim berjudul Ayah yang bakal diperdengarkan dalam tempoh terdekat.
Akuinya, gabungan mereka berdua juga hanya sebagai projek khas selepas komposer dan penyanyi terbabit memujuknya untuk berkolaborasi menerusi lagu berkenaan.
Konsert pertama GGV akan bersiaran secara langsung malam ini (Sabtu), pukul 9:00 malam di saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135). GGV juga boleh ditonton melalui platform Astro on the Go (AOTG) dan Astro On Demand.
Must-Watch Video