Gara-gara air tangan suami tercinta, Nedim Nazri yang sentiasa melayaninya bak puteri, Nora Danish mengakui berat badannya bertambah sejak berkahwin.

Katanya, suaminya itu memang kerap masuk dapur menyediakan hidangan buat mereka sekeluarga hingga anak-anak tidak mahu makan di luar lagi.

“Nedim memang pakar memasak malah dia suka Google menu baharu dan kemudian mencubanya. Apa saja yang dimasak sangat sedap sampai saya ‘naik’ 2 hingga 3 kilogram.

Dilayan bagaikan puteri oleh suami.

“Tetapi saya tak merungut sebab orang cakap semua itu rezeki. Lagipun dia suka tengok orang makan. Semua ahli keluarganya mempunyai bakat memasak yang luar biasa.

“Apabila sudah biasa menjamah hidangan lazat, kalau makan di luar seakan tak boleh menandingi kelazatan masakan suami.“ Lucunya sampai anak-anak memujuk bapa mereka masak. Tambah-tambah ketika berbuka puasa, ada saja menu berbuka yang dipesan,” katanya.

Anak-anak juga suka masakan ayah mereka terutama juadah berbuka puasa.

Beliau berkataa demikian ketika ditemui pada majlis prebiu The Secret Life of Pets versi Melayu yang menyaksikannya meminjamkan suara untuk watak Gidget.

Filem animasi alih bahasa itu bakal disiarkan sempena 1 Syawal nanti iaitu pada 25 Jun ini di saluran HBO 411 dan HBO HD 431, jam 8 malam.

Selain Nora, kisah ragam haiwan peliharaan comel itu turut menyaksikan gandingan ramai selebriti lain termasuk Hisyam Hamid, Nabil Ahmad, Sherry Al Hadad, Juliana Evans dan Fahrin Ahmad.

Sementara itu, beliau mengakui kehidupannya lebih sempurna sebaik menyandang gelaran isteri pada 30 Mac lalu.

Selepas lapan tahun solo, tahun ini Syawal sangat istimewa.

Kongsi ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu, tiada yang lebih bermakna dianugerahi teman hidup bertanggungjawab selepas lapan tahun bergelar ibu tunggal.

Malah kata Nora, sambutan Aidilfitri pada tahun ini bertambah erti kerana dapat bersalaman dengan suami dan anak-anak tercinta.

“Sambutan raya kali ini sudah tentu istimewa. Saya kembali hidup berdua selepas lapan tahun solo. Lebih meriah kami akan beraya bersama dua anak,” ulasnya.

Nedim dan Nora masih dalam mood bulan madu.

Terdahulu, Nora dan Nedim melangsungkan pernikahan pada 30 Mac lalu dalam majlis yang hanya dihadiri saudara mara terdekat.

Begitupun tambahnya lagi, beliau tiada masalah bergilir dengan bekas suaminya, Jejai membawa anak tunggal mereka, Putra Rayqal Ramli, 8, beraya.

Masih dalam mood bulan madu, tambahnya biar tumpuan lebih kepada keluarga dan bisnes, dunia lakonan masih menjadi keutamaan.