Lagu Mata menjadi tiket ketiga penyanyi popular Ayda Jebat melangkahkan kaki ke semi-final Muzik-Muzik ke-32. Pastinya penyanyi yang mesra disapa Kenid ini menyimpan harapan tinggi untuk melangkah lebih jauh.
Maka, tidak hairanlah apabila Ayda kecewa apabila lagu itu gagal untuk ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan.
Tidak pertikai markah juri.
Malah bertebaran komen dan reaksi penyanyi itu di media sosial yang menyatakan kekesalan dirinya termasuk mahu tahu markah yang dimiliki.
Netizen pula memberikan reaksi berbeza termasuk ada yang mengkiritik luahan penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Siapa Diriku ini dan membuat pelbagai tuduhan terhadapnya.
"Saya bukan mempertikaikan markah juri. Apa yang saya mahu tahu ialah markah saya. Hanya markah saya bukannya markah peserta lain.
Mahu berikan yang lebih baik di masa hadapan.
"Mengapa saya mahu tahu ialah kerana ia akan memberikan gambaran kepada saya apa yang perlu saya perbaiki pada masa akan datang," katanya Rojak Daily Kaw!
Ayda menambah, apa yang diluahkan adalah demi mengetahui kelemahannya, selain bertujuan memperbaiki diri.
Hanya mahu tahu markah diri sendiri.
“Saya akui memang ada bertanya mengenai markah saya, bukannya markah peserta lain secara menyeluruh. Saya juga tidak mempertikai markah yang diberikan juri, tetapi mahu melihat di manakah kekurangan yang boleh diperbaiki.
“Saya serius mahu memastikan saya mampu ke pentas AJL suatu hari nanti dan mahu melakukan yang terbaik,” katanya.
Tidak ada rasa putus asa.
Ayda berkata, apa pun dirinya tidak berputus asa dan akan tetap meneruskan perjuangan untuk memperbaiki jenama dirinya sebagai penyanyi.
Dia juga positif setiap yang berlaku pasti berserta dengan hikmah.
Mengenai kritikan yang dilemparkan netizen, Ayda enggan mengambil pusing dan menganggap mereka tidak tahu perkara sebenar yang berlaku.
"Biarlah apa saja yang mahu dikatakan, di pihak saya dan peminat saya AJ Screamer saya memang pesan supaya mereka tidak melatah.
Fokus promosi filem sulung.
"Orang boleh kata apa saja, saya ada alasan kenapa saya bersuara," katanya.
Bintang yang mencipta nama menerusi drama rantaian Rindu Awak 200% ini, kini dalam rangka promosi filem sulungnya, Pinjamkan Hatiku yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 30 November ini.
Filem cinta menyentuh perasaan arahan Osman Ali berkenaan menggandingkan dirinya dengan dua bintang terkemuka, Shaheizy Sam dan Farid Kamil.