KAW
Search Mahu Fokus Album Terbaru, Enggan Fikirkan Isu Sampingan
Search menegaskan kemelut yang melanda sejak tahun lalu tidak mengganggu proses pembikinan album baharu mereka, Katharsis yang juga naskah paling lama untuk disempurnakan dalam sejarah kumpulan itu.
Pemain besnya, Nasir Daud berkata keempat- empat mereka enggan memikirkan isu sampingan yang boleh menjejaskan tumpuan sebaliknya terus komited memberikan sepenuh perhatian terhadap buah tangan ke-12 yang turut mendapat sentuhan Datuk M Nasir.

"Selepas tiada album studio baru selama 11 tahun, kami hanya mahu buat yang terbaik. Apatah lagi bukan mudah untuk mendapatkan kembali khidmat sentuhan emas Datuk M Nasir selepas kali terakhir bekerjasama dengannya menerusi Gothik Malam Edan pada 2006.
"Lebih baik kita move on dan beri tumpuan kepada perkara lebih baik, bukannya memikir mengenai hal lalu. Masalah tetap masalah. Itu hakikat, nanti kita selesai satu persatu. Apabila sudah nekad merealisasikan album ini, kami enggan lagi menoleh," katanya.

Beliau yang ditemui di Hard Rock Cafe semalam bersempena pelancaran album dan sesi pra dengar single berjudul Sidang Kangaroo berkata demikian bagi mengulas pertanyaan media berhubung kes mahkamah selain hubungan mereka dengan pemain dram, Yazit Ahmad.
Selain Nasir, kumpulan rock tersohor yang ditubuhkan sejak 1981 itu kini tinggal berempat iaitu Amy, Din dan Kit.

Sementara itu, vokalisnya, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 59, pula enggan mengulas atau membalas kenyataan Yazit yang sebelum ini enggan dipanggil sebagai bekas anggota Search.
"Saya tiada komen mengenai apa sahaja kenyataannya dan tidak mahu bercakap mengenainya. Lebih baik begini," katanya yang lebih selesa bercakap mengenai Kartharsis.
Jelas Amy, album itu sangat istimewa apabila digarap khas buat tiga generasi pengikut tegar mereka apatah lagi ia mengimbau semula kegemilangan album Fenomena yang sarat roh rock hingga menjadi naskah terlaris.

"Kami mengambil masa selama 700 jam bagi menyiapkan album itu sekali gus album mencatat sejarah buat Search kerana ia nashkah paling lama untuk disiapkan sepanjang karier kami.
"Projek ini dimulakan sejak Ramadan lalu dan dijangka selesai rakaman minggu ini. Sejujurnya masa masuk studio memang kami tiada idea tetapi dengan bantuan M Nasir ia terus berkembang.Search sendiri sebenarnya sudah ada 10 lagu baru di dalam arkib.
"Ini adalah garapan seperti album lalu yang sarat dengan elemen dan bunyi yang lebih berkualiti. Seperti kata M Nasir, Katharsis sarat roh rock," katanya yang memaklumkan tiga kali berjumpa penerbit terbabit untuk membincangkan projek album.

Selain M Nasir, Search turut bekerjasama dengan beberapa komposer dan penulis lirik prolifik yang pernah menjayakan album terdahulu seperti S Amin Shahab, Usop serta Buddi Hekayat.
Menyingkap semula detik awal permulaan projek, katanya hampir sebulan mereka berulang alik berjumpa dengan M Nasir untuk memintanya menjadi penerbit.
"M Nasir sendiri mengakui jiwa rock yang ada dalam dirinya disimpan untuk diluahkan menerusi Search dan Katharsis. Malah boleh dikatakan album ini adalah yang terbaik pernah kami hasilkan.
"Siapa tahu ini juga mungkin buah tangan terakhir Search. Berbanding penyanyi lain, kami mempunyai senarai lagu popular yang banyak dan terus malar segar hingga sekarang," katanya.
Must-Watch Video