Boleh dikatakan hanya segelintir sahaja artis kelahiran Akademi Fantasia 2016 (AF 2016) yang masih nampak berada di dalam industri. Dan diantara semua, hanya Ara seorang sahaja yang ‘disimpan’ pihak pengurusan Astro, Rocketfuel Entertainment. Yang lainnya bertebaran mencari haluan sendiri.

“Saya tak pergi ke mana-mana, ada saja dalam industri cuma mungkin saya tinggal dengan emak di Johor Bharu dan sibuk menguruskan blog, makanmana.tv, orang ingat saya menghilang,’ kata Zarol Zarif, antara bekas pelajar AF 2016.

Tak mahu ungkit cerita lama.

Setahun lalu, penyanyi itu pernah dikatakan kononnya ‘orang ketiga’ dalam keretakan rumah tangga Along Cham dan Zila.

“Lelaki itu bukan saya. Kami (dia dan Zila) hanya pernah berSmule dan saya tiada kena-mengena dengan masalah rumah tangga mereka. Jadi kenapa saya nak lari atau bersembunyi. Kes mereka pun dah selesai jadi tidak perlu diungkit lagi,” katanya.

Mahu kembangkan blog makan.

Menurut Zarol, jika tiada urusan dia memang jarang turun ke Kuala Lumpur (KL). Pada masa sama, dia mahu mengembangkan blognya itu yang baru diwujudkan lima bulan lalu, fokus kepada tempat makan menarik di sekitar JB dan boleh ditonton di Facebook.

“Saya jadi hos dengan dibantu dua lagi rakan. Saya mahu kembangkan makanmana.tv kerana sudah menjadi trend terkini, orang cari apa saja di online,” katanya.

Lebih hati-hati memilih kawan.

Pun begitu ujarnya, dia belajar sesuatu daripada apa yang terjadi.

Sebagai anak seni, kehidupan ini boleh diibaratkan satu risiko. Orang boleh kata apa saja tetapi jika tak buat salah, kenapa nak takut.

“Apapun saya tetap kena sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling serta dengan siapa saya berkawan,” katanya.

Lancar single pertama, Bidadari.

Zarol ditemui pada pelancaran single terbarunya berjudul Bidadari. Dia kini bernaung di bawah label Dr Irma Entertainment dan berharap lagu itu bakal membawa sinar baru pada kerjaya nyanyiannya tahun ini.

“Saya akan terus menetap di JB dan akan turun ke KL untuk mempromosikan lagu serta memenuhi undangan persembahan,” katanya.