Autisme dikategorikan sebagai satu penyakit psikiatri yang dikenali sebagai Autism Spectrum Disorder (ASD). Pesakit akan mengalami gangguan perkembangan otak berterusan dan kekal yang boleh dikenalpasti melalui ciri-ciri tertentu termasuk masalah sosial, komunikasi lisan atau bukan lisan dan masalah tingkah laku seawal usia dua hingga tiga tahun. April, diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan sebuah persatuan kebangsaan autisme di Amerika Syarikat sebagai Bulan Kesedaran Autisme, khusus untuk menyuntik kesedaran dan menyebarkan maklumat tentang kaedah terbaik yang boleh diambil oleh ibubapa yang mempunyai anak istimewa ini.

Gambar: plateformeelsaa.com

Setakat ini belum ada kajian epidemiologi pada skala tempatan tentang penyakit ASD di Malaysia. Namun terdapat kajian yang dilakukan Malaysia Health Technology Assessment Section (MaHTAS) tentang kebolehlaksaan penggunaan MCHAT (The Modified Checklist for Autism in Toddlers) di kalangan kanak-kanak 18 hingga 36 bulan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengenalpasti penyakit ini. Dianggarkan seramai 1.6 daripada 1,000 kanak-kanak di Malaysia menghidap ASD. Di Amerika pula 14.7 daripada 1,000 (1 daripada 68 orang) kanak-kanak berusia lapan tahun dan berlaku peningkatan trend setiap tahun. Penyakit ASD tidak sama dengan penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), namun tidak dinafikan sebilangan kanak-kanak autisme turut didiagnosa dengan penyakit ADHD ini.

Para doktor telah mengesan peningkatan pada bilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah komunikasi sosial dan pertuturan yang memerlukan rawatan lanjut. Kebanyakan daripada mereka sering ditempatkan di kelas pembelajaran khas tanpa melalui diagnosa tepat. Kelewatan dalam diagnosa ini menambah tekanan kepada ibubapa dan pengasuh yang memerlukan bantuan untuk menguruskankan kanak-kanak ini dengan lebih sempurna. Hakikatnya diagnosa awal dan penjagaan tepat kepada kanak-kanak ASD ini penting untuk kesan yang lebih ketara dalam mengenalpasti potensi mereka.

Gambar: www.rtl.fr

Punca

Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui namun terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti membawa kepada penyakit ini. Salah satu daripadanya faktor usia ibu dan bapa melebihi 35 tahun ketika mengandungkan bayi, kelahiran pra matang yang kurang daripada 33 minggu, masalah perkembangan otak disebabkan faktor genetik, masalah fungsi otak terganggu seperti jangkitan, masalah semasa kehamilan atau kelahiran dan faktor genetik iaitu sejarah autisma dalam keluarga menjadi punca utama kelahiran bayi ASD.

Gambar: www.doctissimo.fr

Simptom

Simptom awal dapat dikesan dengan perlakuan mereka yang berbeza daripada kanak-kanak normal. Antaranya, gagal bertentang mata, gangguan visual, gagal respons apabila nama mereka dipanggil, jarang senyum dan lambat bercakap serta kesukaran menafsir pemikiran orang lain kerana kurang sensitif kepada cara bersosial seperti intonasi suara dan ekspresi muka. Kanak-kanak autisma tidak suka dibelai atau dipeluk dan suka mengulangi perbuatan yang sama. Autisme boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti Autisme Klasik, Kelainan Disintegrasi Masa Kanak-Kanak, Hiperleksia, Kelainan Rett, Asperger Disorder dan PDD-NOS (Pervasive Developmental Disorder Not Otherwise Specified).

Rawatan

Tiada rawatan khusus untuk memulihkan penyakit ini tetapi terdapat beberapa kaedah terapi yang boleh dilakukan bagi mengesan potensi dan meningkatkan keupayaan anak-anak istimewa ini.

1) Terapi Carakerja: Mengajar kemahiran yang membantu individu hidup berdikari sebanyak yang mungkin termasuk berpakaian, makan, mandi dan bersosial.

2) Terapi Integrasi Deria: Membantu individu dengan maklumat deria seperti penglihatan, bunyi, dan bau bagi membantu kanak-kanak yang terganggu dengan bunyi-bunyi atau tidak suka disentuh.

3) Terapi Pertuturan: Membantu meningkatkan kemahiran komunikasi individu. Sesetengah individu dapat mempelajari kemahiran komunikasi lisan dan sesetengahnya menggunakan gerak isyarat atau papan gambar.

Gambar: www.edp-nutrition.frr

Ubatan

Tiada ubat yang boleh menyembuhkan ASD tetapi sesetengah ubat-ubatan boleh membantu mengatasi gejala-gejala tertentu seperti ubat mengurangkan masalah hiperaktif, kegagalan untuk fokus, kemurungan atau sawan.

Kisah Ibu Dengan Anak Austisme

Fynn Jamal

Gambar: Instagram. com/fynn Jamal

Penyanyi yang terkenal dengan lagu "Arjuna Beta" yang didedikasikan khas untuk anak angkat istimewanya. Lirik dan melodi lagu itu ditulis khas untuk anak tunggalnya Bakti Arjuna Fitri atau Juna. Juna mempunyai masalah berkomunikasi dan setiap kali inginkan sesuatu Juna akan menarik tangan ibu atau ayahnya ke arah barang yang dikehendaki.

Zarina Zainuddin

Gambar: intrend.com.my

Ibu tabah yang juga seorang pelakon dan ahli perniagaan ini sabar melayani karena pasangan kembar lelaki yang bernama Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, atau nama manja mereka Azal dan Azil yang menghidap autisme. Amukan, hilang di pusat membeli belah, mengambil barangan kegemaran di kedai adalah perkara biasa dilalui Zarina. Paling penting, anak-anak istimewa ini perlu dilayan dan diberi sepenuh perhatian juga kasih sayang. Usah malu dan cuba terangkan kekurangan mereka agar masyarakat faham dan tidak menghukum atas setiap perbuatan yang dilakukan.

Zaiton Husin

Zaiton Husin berkongsi pengalamannya menjaga Nabil Fahmi, anak autisme yang kini telah berusia 12 tahun dalam penulisannya di blog. Zaiton mula mengesan sesuatu yang tidak kena sejak awal apabila anaknya lambat bercakap dan pada usia Nabil tiga tahun, dia telah memulakan rawatan awal di Hospital Besar Ampuan Rahimah Klang. Di sana dia diajar cara membantu anaknya membuat latihan pertuturan di rumah. Dia dan suaminya tidak putus asa mengajar Nabil membaca dan menulis sehinggalah anaknya mampu melakukannya dengan baik.

Ainizal Abdul Latif

Kisah dialami Ainizal Abdul Latif dalam membesarkan anak ketiga beliau, Mohamad Haikal Arrizqy, yang dikongsi di akhbar Sinar Harian. Menurutnya, Rizqy kelihatan normal pada peringkat awal. Namun ketika menjangkau usia dua tahun, Ainizal dan suaminya mula mengesan perbezaan tingkah-laku yang ketara. Rizqy gagal melakukan eye contact dan tidak boleh bertutur. Rizqy juga akan melarikan diri tanpa mempedulikan bahaya di sekitarnya setiap kali bertemu orang di kawasan lapang.

Nor Syahirah

Nor Syahirah langsung tidak menyedari anak sulungnya, Nur Lana menghidap autisme sehinggalah ditegur oleh rakan-rakan yang mengunjungi laman blognya. Lana suka menyendiri, duduk di bawah kerusi, tidak mempunyai eye contact, menarik tangan untuk menunjukkan kemahuannya dan tidak bercakap walaupun usianya sudah tiga tahun. Malah kehadiran adiknya, Muhammad Luqmanul Hakim, tetap tidak berjaya menarik perhatiannya. Lana mempunyai kelebihan visual dan lebih banyak melihat buku dan televisyen yang terus masuk ke memorinya. Dari situ, Lana menggunakan blok huruf membentuk perkataan walaupun ketika itu Lana baru berusia dua tahun. Lana dikategorikan sebagai autisme hyperlexia di mana dia boleh membaca sendiri dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Jawi dan sedikit Bahasa Arab tanpa diajar.