Bagaikan satu 'budaya', novel dijadikan adaptasi kepada drama bersiri televisyen. Kebanyakkan novel yang menjadi pilihan adalah lebih kepada kisah cinta dengan tajuk 'catchy' gabungan perkataan bahasa Malaysia dan Inggeris yang difikirkan boleh tarik perhatian pembaca dan penonton. Namun, persoalannya sampai bila 'budaya' ini diteruskan atau ditamatkan jika penonton televisten sendiri berasa bosan.

Bagi komposer dan penulis novel, Abie Abdullah, mengakui 'budaya' mengambil novel dikategori 'pink' atau bersifat komersial ini hanya mengikut musim dan akan berubah apabila sampai masanya. Akuinya, stesen televisyen gemar mengambil novel sebegini sebagai bahan untuk penerbitan drama bersiri kerana ia mengikut kehendak penonton dan menjadi bisnes untuk meraih rating tinggi.

Menariknya, Abie membuktikan novel genre berbeza iaitu Yuya Yuya nukilannya membawa genre 'journalism fiction' diterbitkan untuk memberi sesuatu yang baru pada selera pembaca novel masa kini. Jelasnya, penulisan novel ini lebih berbentuk seperti laporan atau kolumnis yang pernah ditulisnya ketika berkhidmat di sebuah syarikat akhbar terkemuka.

"Ada wartawan menulis novel tetapi dalam Yuya Yuya, saya menulis seperti bercerita secara sinikal dan kritikan seperti kolum Zon Abie dan Transkripsi yang pernah saya tulis sebelum ini. Datuk Aznil Nawawi menyatakan beliau seolah membaca tulisan pojok dalam novel ini manakala seorang pensyarah pula bukan peminat novel memberi komen novel ini suatu yang berbeza dari segi bahasa yang digunakan tetapi boleh difahami sehingga membuatkannya tertarik membaca novel," katanya dalam satu pertemuan dengan Rojak Daily Kaw! di Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, apa yang ingin disampaikan dalam Yuya Yuya bukan kisah atau mesej negatif secara keseluruhannya. Ada aspek positif dan negatif pada karakter artis termasuk wartawan dan sindiran pada stesen televisyen serta artis.

"Watak antagonis seperti Marissa Malik dicipta berdasarkan enam karakter sebenar dalam industri hiburan tempatan dan salah seorangnya adalah lelaki dimasukkan ke dalam karakter wanita itu. Dia mempunyai banyak perangai negatif, suka glamor dan 'trending' sehingga sanggup buat apa saja termasuk mencarut di Twitter untuk menjadi 'trending'," katanya penuh semangat.

Abie menyatakan Yuya Yuya bukan kisah atau mesej negatif secara keseluruhannya tetapi ada aspek positif dan negatif pada karakter artis termasuk wartawan dan sindiran pada stesen televisyen serta artis. (Gambar: Abie Abdullah - Facebook)

Sebagai bekas editor dan wartawan hiburan selama 22 tahun, Abie mempunyai perancangan serius dalam penerbitan novel sulungnya ini sejak bermula 3 tahun lalu apabila mahu mempunyai syarikat penerbitan sendiri dan kini berhasrat menghasilkan sambungannya secara trilogi.

"Tajuk asal novel ini adalah Tentang Kita tetapi apabila syarikat penerbitan Yuya Yuya Publications ditubuhkan, ia juga dijadikan novel yang mempunyai judul sama. Yuya Yuya bermaksud heboh atau bising merujuk pada apa yang sebenar berlaku dalam industri hiburan tanah air.

"Tidak kisah ia dikenali sebagai 'publications' atau novel, apa yang penting adalah ia berdiri sebagai satu jenama. Judul ini juga adalah kisah keseluruhan novel ini daripada pandangan bekas wartawan hiburan terhadap kisah artis yang suka glamor, wartawan tidak boleh mengkritik artis apabila dia dihentam atau ditukar bertugas di meja lain selain hiburan serta menyentuh isu acara anugerah hiburan ditaja penaja yang mengambil kesempatan," katanya kini dalam proses menerbitkan buku motivasi.

Tambahnya, Yuya Yuya turut menarik perhatian produser yang mahu ia dijadikan karya adaptasi. Masih di peringkat perbincangan awal, Abie menyatakan dia terbuka untuk merealisasikan projek baru ini sambil berharap penulis baru mengambil peluang menulis di bawah syarikatnya. Katanya, menjadi penulis novel perlu mempunyai disiplin yang tinggi untuk menyiapkan karya mereka mengikut jangka masa yang ditetapkan dan wajib menulis sekurangnya satu muka surat sehari.