Bagi peminat koleksi barangan Hard Rock Cafe, ianya dianggap berbaloi dan cukup mengujakan apabila berpeluang mengumpul pelbagai produk jenama tersebut. Lebih menarik, ia adalah barangan edisi terhad dan dibeli dari pelbagai negara.
Pengalaman itu dikongsi lebih 80 peminat tegar Hard Rock Cafe berkumpul beramai-ramai buat kali ketiga bersempena acara Pinfest 2017 di Hotel Hard Rock Pulau Pinang baru-baru ini.

Festival yang diadakan dalam susana meriah itu bukan sahaja mempamerkan pelbagai koleksi peribadi yang dimiliki antara pengemar koleksi pin dari Pulau Pinang tetapi Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor.
Pengurus Permasaran dan Komunikasi acara tersebut, Angeline Chen berkata, pihaknya melahirkan rasa terharu atas sambutan yang diberikan begitu memberangsangkan dalam kalangan pengunjung.
"Selain beramah mesra dan persembahan hiburan dari band Deviate dan staff band, pihak kami turut menghulurkan sumbangan kebajikan kepada Pertubuhan Kebajikan Komuniti Cakna Pulau Pinang dan juga Pertubuhan Kebajikan Fokus Beramal Pulau Pinang.
"Kami melahirkan rasa bersyukur apabila sejumlah RM4,000 berjaya diperolehi hasil sumbangan melalui pembelian pin dan bidaan koleksi khas dan sumbangan itu akan diberikan kepada kedua rumah kebajikan berkenaan," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rizal Fauzi, 45, dari Ipoh yang ditemui memberitahu dia memiliki lebih 500 koleksi pin Hard Rock Cafe yang didapatinya dari seluruh dunia.
"Saya tidak pernah melepas peluang untuk turut serta dalam festival sebegini sejak ia diadakan dan pelbagai koleksi pin akan disimpan sebagai koleksi eksklusif kerana ia tidak mungkin akan dimiliki di mana-mana," katanya.
