Biarpun negara kita sedang menjurus ke arah permodenan yang pesat tetapi pernahkah anda terfikir waktu yang sesuai untuk kita menggunakan kenderaan tenaga elektrik sepenuhnya?

Bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, tahun 2018 adalah masa yang paling sesuai untuk melupakan penggunaan kenderaan bas diesel yang terlalu banyak melepaskan gas karbon.

Sehubungan itu, mereka dengan jayanya telah pun melancarkan bas elektrik di kawasan kampusnya yang pertama.

UTM KAMPUS RENDAH KARBON

Penggunaan bas seperti ini harus dikomersialkan.
Menurut Ketua Gerak Kerja Bas Elektrik UTM, Profesor Dr Abd Latif Saleh berkata, projek tenaga hijau ini adalah hasil usaha sama antara UTM, CMS Consortium Ecotour Sdn Bhd (COMOS), Mara Liner Sdn Bhd (Maraliner) dan Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (Go Auto).

Jelasnya, penggunaan bas itu bertujuan untuk mengurangkan kadar pelepasan gas karbon dioksida dan mengurangkan kesan bunyi, sekali gus menjaga alam sekitar.

Selain itu, projek berkenaan antara lain turut dijana untuk tujuan penyelidikan teknologi kenderaan elektrik dan menjadikan kampus UTM rendah karbon.

Tambahnya, terdapat beberapa kelebihan menggunakan bas elektrik di sekitar kawasan kampus dan antaranya adalah 100 peratus mesra alam sekitar. Malah, ia juga mampu menjimatkan hampir 60 peratus kos bahan diesel yang sering digunakan bas sebelum ini.

STESEN PENGECASAN TERPANTAS

Ruang dalam yang cukup selesa.
Untuk maklumkan, UTM juga mempunyai stesen pengecasan terpantas di negara ini.

“Bas ini hanya ambil masa 20 minit untuk dicas dan boleh bertahan sejauh 88 kilometer perjalanan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut pihak UTM mereka tidak bercadang untuk menggantikan sepenuhnya bas lama kepada elektrik memandangkan ia masih di fasa percubaan. Malah, struktur jalan yang berbukit juga harus diperhalusi bagi melancarkan penggunaan bas elektrik ini.

UTM bercadang untuk menukar 15 bas diesel mereka berperingkat dan menyasarkan pada tahun 2020, semua bas diesel ini dapat ditukarkan sepenuhnya.