Seramai 2,415,074 orang yang layak mengundi di negeri Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan menjadikan ia negeri dengan paling ramai pengundi.

Memetik laporan Bernama, 2,388,614 pengundi di Selangor merupakan pemilih biasa, pengundi awal tentera, polis dan pasangan (25,462) dan pengundi tidak hadir luar negara (998).

Tiba saatnya Malaysia memilih.

Negeri kedua yang mempunyai jumlah pemilih berdaftar paling tinggi ialah Johor dengan 1,817,999 orang, diikuti Perak (1,510,864), Sarawak (1,220,960) dan Kedah (1,146,492).

Negeri dengan jumlah pengundi paling rendah ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 27,306, manakala Wilayah Persekutuan Labuan (28,356) dan Perlis (150,221).

Daftar pemilih suku keempat 2017 yang menyenaraikan 14,940,624 pengundi akan digunakan pada PRU14 melibatkan 7,557,187 pengundi wanita (50.58 peratus) dan 7,383,437 pengundi lelaki (49.42 peratus).

Dari segi kumpulan umur, statistik SPR turut menunjukkan pengundi berusia 30 hingga 39 tahun mencatatkan peratusan paling tinggi iaitu 23.92 peratus, diikuti mereka berusia 50 hingga 59 tahun (18.35 peratus) dan 21 hingga 29 tahun (17.02 peratus).

Sebanyak 0.45 peratus atau 66,831 orang adalah pengundi berusia 90 tahun ke atas, manakala kumpulan berusia 80 hingga 89 tahun pula 1.86 peratus atau 278,016 orang.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini masih kekal seperti PRU13 lepas iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).