Skip to main content

Market Trends

Aiskrim Akak Lesung Pipit Buat Pelanggan Terliur

akak6.jpg
Sesiapa sahaja yang melihat tulisan besar Kedai Aiskrim Akak Lesung Pipit pasti tertanya-tanya apakah yang membuatkan aiskrim 'akak' ini istimewa dibandingkan dengan aiskrim jenama lain?

Rojak Daily Skop! yang berkunjung ke premis tersebut baru-baru ini kagum melihat bagaimana sebuah rumah teres diubahsuai menjadi kedai makan unik yang menyediakan pelbagai menu aiskrim sehingga menjadi tular dalam kalangan penduduk sekitar.


DULU 'POT' SEKARANG 'LESUNG PIPIT'

Aneka perisa aiskrim boleh dinikmati pengunjung jika datang ke kedai popular ini.


Bertemu pemiliknya, Ashya Sakinah Rusmadi, persoalan mengenai nama kedai berkenaan terjawab selepas rupanya dialah Akak Lesung Pipit yang dimaksudkan itu.
 
Gadis berusia 25 tahun ini berkata, dahulunya kedai itu dikenali sebagai Kedai Aiskrim Pot kerana ia menjual aiskrim dalam pasu kecil yang pernah menjadi kegilaan ramai sebelum ini. Namun, ia bertukar kerana idea kreatif bapanya, Rusmadi Kamaluddin yang juga seorang pelukis.

"Ayah suka letak nama unik bagi sesuatu benda, nama makanan ibu (Norhashimah Hussin) masak pun dia hendak letak nama unik untuk mencari kelainan. Sebab itu kedai ini namanya Kedai Aiskrim Akak Lesung Pipit.

"Ia merujuk kepada saya yang mula-mula membuka kedai menjual aiskrim dan air di Cenderawasih terletak berhampiran Galeri Rajawali (galeri seni). Nama itu melekat dan boleh dikatakan membawa tuah juga," katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Karipap dan popia 'cheese' ketam antara menu popular di Kedai Aiskrim Akak Lesung Pipit.

Ashya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Tekstil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, menyatakan terdapat lebih 30 menu disediakan di kedai yang diuruskan dengan bantuan keluarganya.

"Kami menjual aiskrim pelbagai perisa seperti pudina, raspberry, mangga, coklat dan kelapa. Perbezaan aiskrim di sini dengan premis lain adalah hiasan. Kami letak macam-macam selain untuk menjadikannya lebih sedap dan juga cantik untuk dilihat.

"Memang sejak dari premis lama di Cenderawasih kami fokus kepada aiskrim, dahulunya di Kuantan sukar mencari kedai hanya menjual aiskrim.

"Lebih istimewa, kami juga ada menyediakan susu kocak istimewa diadunkan dengan resepi tersendiri. Ada juga masakan panas dijual di sini seperti nasi goreng bonda, nasi goreng ayam kunyit selain kek dan kuih seperti karipap, popia 'cheese' ketam serta keropok lekor.

"Dari segi harga, kita tawarkan harga yang sangat berpatutan dari RM2.50 sehingga RM8," kata anak kedua daripada tujuh beradik ini.


KREATIVITI SENI TARIK PERHATIAN 

Sudut bacaan juga disediakan pada pengunjung sambil menikmai aiskrim yang menyegarkan.


Apa yang menarik perhatian pengunjung ketika masuk ke kedai ini adalah hiasannya yang agak kreatif dan ia sebenarnya bukan perkara menghairankan kerana keluarganya mempunyai latar belakang seni terutama kedua ibu bapanya.

"Ibu bekerja sebagai guru pendidikan seni turut menulis ayat-ayat menarik menggunakan loghat tempatan dan 'sempoi' di dinding kedai sehingga ramai pengunjung datang ke sini mengambil peluang bergambar.

"Kami cuba mewujudkan suasana santai sepertimana digemari masyarakat kini bersesuaian untuk keluarga atau mereka yang mahu meraikan hari jadi atau sebarang acara," katanya.

Sejak mula dibuka di kawasan baru pada Mac lalu, Ashya menyatakan sambutan terhadap perniagaannya sangat menggalakkan terutama daripada masyarakat sekeliling yang majoritinya berbangsa Cina.

Dekorasi yang unik pada dinding Kedai Aiskrim Akak Lesung Pipit turut menarik perhatian pengunjung.

"Mereka datang ke sini untuk menikmati aiskrim dan hidangan lain kerana suasana unik dengan harga berpatutan dibandingkan dahulu pelanggan kami di Cenderawasih kebanyakannya adalah pelajar kerana terletak berhampiran sekolah.

"Ada juga pengunjung datang dari Kuala Lumpur dan Johor yang kebetulan berkunjung ke Kuantan. Mereka beritahu melihat kedai ini media sosial seperti Facebook dan Instagram," katanya.

Bagi sesiapa yang mahu menikmati aiskrim istimewa ini, boleh berkunjung ke Kedai Aiskrim Akak Lesung Pipit yang dibuka setiap hari kecuali Isnin mulai jam 6 petang sehingga 11 malam di alamat No 1,  Lorong Seri Kuantan 66, Kuantan, Pahang.
 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must-Watch Video