Cuti persekolahan berbaki empat minggu sahaja lagi dan pastinya ramai ibu bapa sedang memikirkan aktiviti menarik untuk anak-anak mereka.

Hujung tahun boleh dikatakan waktu paling 'best' bagi kanak-kanak kecil kerana ketika ini, ibu bapa sudahpun merancang untuk pergi bercuti paling tidak pulang ke kampung halaman.

Namun, jika ada ibu bapa yang masih tiada idea untuk membawa anak anda ke mana-mana, apa kata kita terokai dunia hidupan haiwan yang unik di Zoo Negara.


KENAPA PILIH ZOO?

Zoo Negara antara destinasi popular tumpuan ramai pengunjung terutama ketika cuti sekolah.


Jika ditanya memang ramai pernah ke Zoo Negara tetapi mungkin ada yang tak pernah menjejak kaki lagi di tempat seperti ini atau sudah lama tidak berkunjung selepas kali terakhir ketika zaman kanak-kanak.

Bagi golongan cilik, momen bercuti ke zoo adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan apabila dapat melihat pelbagai haiwan tidak kira ia hanyalah percutian paling dekat dengan rumah.

Tidak seperti zaman dahulu, Zoo Negara kini melalui banyak transformasi dari aspek kemudahan yang disediakan pada pengunjung yang akan berasa teruja sebab ia diibaratkan ‘all in one’.

Antara yang menarik di Zoo Negara adalah Taman Rama-Rama, Akuarium Tunku Abdul Rahman, Muzium Lebah Sedunia dan Pusat Konservasi Panda Gergasi.

Memang berbaloi dengan bayaran RM44 untuk dewasa manakala kanak-kanak berusia 3 sehingga 12 tahun dikenakan bayaran RM16, pengunjung dapat melihat semua haiwan ini kecuali kalau nak tengok panda.

Rojak Daily Skop! senaraikan tujuh sebab kenapa anda perlu datang ke Zoo Negara:
.
1. MUDAH AKSES

Terletak betul-betul di tepi Lebuhraya MRR2, memang mudah kalau nak ke sini. Anda boleh menaiki kereta sendiri ataupun jika malas nak memandu, boleh guna perkhidmatan Grab atau Uber. Bagi yang membawa kereta, jangan risau kerana pihak Zoo Negara menyediakan kemudahan kawasan tempat letak kereta yang luas.

Bayaran tempat letak kereta juga berpatutan iaitu RM5.50 bagi tiga jam pertama dan RM1 untuk jam berikutnya. Jangan risau kerana kawasan ini dijaga oleh pegawal keselamatan dan yang pasti ia terletak di dalam kawasan berpagar.

2. MESRA KANAK-KANAK

Mungkin ada pengunjung tidak pernah melihat badak air secara dekat.


Memandangkan Zoo Negara ini memang besar dan banyak 'spot' menarik maka masa yang diperlukan untuk berjalan-jalan ke seluruh tempat ini adalah antara 3 sehingga 4 jam. Namun, jika pengunjung malas berjalan kaki tetapi mahu bersantai mengelilingi zoo ini, boleh menaiki tram yang disediakan dengan bayaran RM8 untuk dewasa dan kanak-kanak sebanyak RM5.

Bagi mereka yang suka berjalan kaki, sambil berjalan boleh tengok dengan lebih dekat haiwan yang ada dan paling penting, anak-anak boleh belajar dunia haiwan dengan melihat gelagat haiwan dan membaca papan tanda yang disediakan. Bagi ibu bapa yang ada anak kecil boleh bawa 'stroller' sebab laluan pejalan kaki di sini semuanya mesra pengguna.

3. HAIWAN EKSOTIK

Bagaikan tak lengkap masuk zoo jika tidak dapat melihat gajah lebih dekat.


Menempatkan pelbagai haiwan unik di dunia antaranya burung enggang, buaya dan burung Aviary. Daripada 10 spesis burung enggang yang terdapat di Malaysia, pengunjung dapat menyaksikan 7 spesis enggang di sini. Jangan tak percaya, Zoo Negara juga menempatkan ular terpanjang di dunia dan kura-kura terbesar di dunia!

Pengunjung berpeluang mendekati secara dekat dan memberi makan kura-kura bersama anak anda. Selain itu, terdapat juga tiga ekor gajah veteran iaitu Siti, Simbol dan Teriang. Gajah ini berasal dari Pahang dan menjadi antara tarikan utama di Zoo Negara.

4. PAMERAN PANDA

Kehadiran pasangan panda dari China ke Malaysia, Xing Xing dan Liang Liang menjadikan kunjungan ke Zoo Negara lebih bermakna. Sebelum ini, anak-anak kita hanya tengok aksi panda di kaca televisyen tetapi kali ni mereka boleh tengok gelagat lucu panda comel ini secara dekat.

Panda di sini dapat hidup dengan selamat kerana mempunyai ruangan pameran yang sangat selesa dan ada pendingin hawa. Struktur binaan tempat panda ini juga sekali pandang seperti berada di dalam sebuah stadium mini.

Namun, sebelum masuk ke Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) ini, pengunjung akan diberi taklimat ringkas supaya tidak membuat bising dan menjaga anak-anak kecil. Selain itu kalau nak ambil gambar, 'flash' wajib tutup!.

Pelantar jalan kaki menuju ke ruangan tengah habitat panda juga sangat menakjubkan kerana pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat gelagat pasangan ini. Memang sangat comel dan rasa nak peluk kuat-kuat apabila ada depan mata!

5. AKSI BURUNG KAKAK TUA

Keletah lucu Ringo, seekor burung kakak tua berusia 65 tahun sentiasa dinantikan pengunjung Zoo Negara. Walaupun sudah berusia tetapi haiwan ini sangat petah mengajuk cakap pelatihnya dan boleh berinteraksi dengan baik dengan orang sekeliling. Difahamkan, burung kakak tua ini boleh hidup sehingga 100 tahun.

6. PERTUNJUKAN HAIWAN

Pengunjung cilik pastinya teruja menyaksikan persembahan seperti singa laut di Zoo Negara.


Tidak sah kalau datang ke Zoo Negara tetapi tidak menyaksikan pertunjukan haiwan di sini. Pelbagai pertunjukan disediakan dan paling mendapat perhatian pastinya aksi lincah singa laut yang mampu mempamerkan pelbagai aksi dan gaya.

Sesi pertunjukan ini diadakan dua kali sehari iaitu jam 11 pagi dan 3 petang serta berlangsung lebih kurang 30 minit untuk satu sesi.

7. DUNIA KANAK-KANAK

Ruang ini paling mendapat perhatian bagi ibu dan anak kecil. Di sini, pengunjung boleh membiarkan si cilik berjalan sendiri di sekitar dan meneroka dunia baharu yang dilihatnya. Ketika ini, manfaatkan sepenuh masa untuk mengajar anak anda mengira, mengenal haiwan sekali gus merangsang semua deria mereka.

Terdapat juga gua mini yang boleh diterokai bersama. Di dalam gua ini, kanak-kanak boleh mempelajari saiz gajah dan rupa gigi gajah yang sebenar!


ISTIMEWA HANYA DISEMBER

Pengunjung yang lahir pada Disember berpeluang masuk Zoo Negara secara percuma.

Selain cuti sekolah, Zoo Negara membawa berita baik sempena kehadiran Disember ini. Bagi pengunjung warganegara Malaysia yang menyambut hari kelahiran bermula 1 sehingga 31 Disember berpeluang masuk ke Zoo Negara secara percuma!

Bukan saja tiket masuk percuma, nak tengok gelagat lucu pasangan panda, Xing Xing dan Liang Liang pun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Pengunjung bertuah ini hanya perlu menunjukkan kad pengenalan mereka di kaunter tiket untuk mendapatkan tiket percuma tersebut. Jadi, apa tunggu lagi, jom ke Zoo Negara hari ini.