Lebih sekadar aktiviti riadah, seramai kira-kira 2,100 peserta Larian Amal Rock To Rock 2017 berjaya membantu sebuah sekolah untuk membina tapak perhimpunan berbumbung bernilai RM70,000.
Sumbangan peserta dalam acara larian amal yang dianjurkan buat kali ketujuh itu menjadikan impian murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Feringghi menjadi suatu kenyataan. Acara berkenaan berjaya dianjurkan Hotel Hard Rock Pulau Pinang, Batu Feringghi Pulau Pinang, baru-baru ini.
Difahamkan, sekolah tersebut yang dibuka pada tahun 1909 memiliki seramai 206 murid, 23 guru dan empat kakitangan serta tujuh kelas memerlukan bantuan untuk pembinaan tapak perhimpunan yang boleh digunakan sebagai kemudahan murid-murid di situ.

Pengurus Hotel Hard Rock Pulau Pinang, John Primmer berkata, bantuan seumpamanya ini sudah dijalankan sejak beberapa tahun lalu termasuk sumbangan kepada rumah kebajikan.
"Dulu bantuan kebajikan diberikan kepada Rumah Seri Cahaya pada tahun 2010 dan 2015 diikuti Persatuan Pemulihan Penyayang Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (2011) dan Asia Community Service Stepping Stone Centre, Balik Pulau (2012).
"Bukan itu sahaja, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Permatang Tinggi (2013) dan SJKC Yok Eng pada tahun 2014 turut diberikan bantuan," katanya.

Sumbangan yang dikutip daripada peserta larian itu disampaikan Primmer kepada Guru Besar SK Batu Feringghi, Suhaimi Saad sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Chong Eng.
Acara Larian Amal Rock To Rock 2017 dibahagikan kepada dua kategori iaitu Fun Run (3.8 kilometer) dan Competitive Run (10.2 kilometer) manakala setiap pemenang turut menerima sijil, medal dan hadiah iringan lain. Sebagai tarikan, acara cabutan bertuah dan Anugerah Pakaian Terbaik juga diberikan kepada peserta.