Jika sembang 'coconut shake' mana paling sedap, ramai merujuk di Klebang, Melaka sebab mereka pernah berkunjung ke sana. Namun, tahukah anda ada satu lagi minuman tempatan yang sangat menggoda ramai pengunjung sehingga mereka terliur untuk menikmatinya dikenali sebagai air durian original?

Tidak dinafikan kesedapan durian memang tiada tandingan. Sesiapa saja boleh jatuh cinta padanya sehingga ada yang sanggup berbelanja lebih semata-mata mahu menikmati keenakkan Raja Buah itu.

Durian Crepe, aiskrim durian, coklat dan durian cream puff antara inovasi durian yang sudah biasa rakyat Malaysia jamah. Bagi penggemar durian, apa saja makanan atau minuman berasaskan durian pastinya ingin dicuba.

Begitu juga, air durian original yang jarang dijual di mana-mana. Bagi mereka yang mahu mencubanya boleh singgah di Pasar Karat, Johor Bahru untuk merasai sendiri keistimewaan air durian yang dijual.


RASA SEBENAR

Selain tarikan air durian original, Pasar Karat Johor Bahru turut menjual pelbagai juadah, pakaian dan barangan pengguna.


Berbeza dengan air durian Belanda yang lazim dijual di merata tempat, merasai sendiri air durian sebenar memang cukup membangkitkan selera.

Air Durian Original menggunakan seratus peratus durian serta pati jus durian sebenar dan paling istimewa dari mula sedutan air ke tekak sehinggalah habis, anda akan dapat merasai kemanisan air durian yang sebenar bukannya menggunakan perasa.

Lebih nikmat, sambil minum anda juga dapat kunyah isi buah durian di dalamnya. Harga bagi setiap gelas yang dijual adalah RM5 dan ia amat berbaloi jika dibandingkan rasanya yang memberi kepuasan pada pengunjung.

Selain tarikan air durian original di Pasar Karat Johor Bahru ini, pelbagai juadah dan barangan dijual di sini yang menjadi tumpuan ramai pengunjung sama ada tempatan mahupun pelancong asing.


NAK KARAOKE PUN BOLEH

Koleksi beg sandang yang dijual di Pasar Karat Johor Bahru.

Keunikkan destinasi ini mula mendapat gelaran Pasar Karat kerana pada mulanya barang-barang yang dijual di sini kebanyakkannya adalah barang antik dan terpakai termasuk pakaian bundle.

Namun, Pasar Karat kini lebih menjadi pilihan kerana turut menjual pelbagai barangan termasuk baju, aksesori motosikal, kasut, makanan dan lain-lain.

Jika anda berkesempatan untuk ke Johor Bahru dan ada masa lapang pada waktu malam, curi-curilah masa pergi ke sini dan pasti ia tidak mengecewakan.

Menyusuri laluan sekitar Pasar Karat ini pasti akan terpesona melihat seni bina bangunan selain turut tertarik dengan persembahan buskers yang cukup menghiburkan.

Penat berjalan dan 'cuci mata' apa kata jamah roti john special yang dijual di Pasar Karat Johor Bahru.


Selain itu juga pada mereka yang ingin menikmati juadah makanan pasti akan singgah di Chaiwalla & Co ataupun bersebelahan dengannya.

Ini kerana terdapat pelbagai gerai yang beroperasi dalam kontena selain memilih pelbagai juadah makanan dan minuman termasuk makanan barat serta pengemar shisha juga boleh menikmati pelbagai perisa pada harga RM10 sahaja.

Di samping itu, setiap pengunjung yang datang ke sini pasti akan terhibur dengan persembahan karaoke terbuka selain mendengar coloteh deejay bertugas menghiburkan pelbagai rangkaian lagu.

Bagi mereka yang ingin datang ke sini boleh meletakkan kenderaan di kawasan Jalan Dato' Onn dan Jalan Syed Mohd Mufti. Lokasi Pasar Karat ini terletak di Jalan Segget berada ditengah bandar dan ia dibuka dari jam 6 petang sehingga 12 tengah malam.