Ada individu yang berhasrat mahu mencuba dan ada juga yang sudah mempunyai kerjaya tetap tetapi mengambil keputusan drastik bertukar kerjaya mereka sebagai ejen insurans. Bagaimanapun, memilih sebagai ejen insurans hayat antara kerjaya yang menjanjikan pendapatan yang baik dalam sektor pekerjaan di negara ini.

Pada tahun 2013, dilaporkan pendapatan purata bagi seorang ejen insurans sepenuh masa berjumlah RM91,000 setahun. Ini bermakna mereka mampu meraih pendapatan RM7,583,33 sebulan.

Ejen insurans hayat merupakan golongan profesion yang digemari ramai kerana menjanjikan potensi pendapatan yang cukup tinggi jika berjaya mendapat lebih banyak pelanggan.


EJEN INSURANS BERKURANGAN

Bagaimanapun, laporan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) baru-baru ini menyatakan bilangan ejen insurans hayat di Malaysia semakin berkurangan.

Bilangan ejen insurans hayat yang berdaftar dilaporkan menyusut sebanyak 5.2 peratus kepada seramai 77,736 orang pada 30 Jun lalu berbanding 81,985 orang pada 30 Jun 2016.

Malah, bilangan kakitangan bank yang berdaftar untuk menjual insurans nyawa turut mengalami penyusutan sebanyak 1.9 peratus kepada 18,652 orang berbanding 19,010 orang pada 30 Jun 2016.

"Secara keseluruhan, bilangan ejen baharu dalam industri ini turut rendah iaitu dari 8,877 orang pada 30 Jun 2016 kepada 7,683 ejen pada 30 jun 2017," kata LIAM dalam satu kenyataan media.


PERKEMBANGAN POSITIF

Menurut LIAM, perubahan jumlah ejen insurans hayat berlaku disebabkan langkah-langkah kualitatif dan kuantitatif yang dikenakan oleh syarikat insurans hayat untuk meningkatkan profesionalisme dan produktiviti ejen mereka.

Ia juga selaras dengan wawasan industri insurans untuk menghasilkan ejen yang berkualiti, menggalakkan ejen sambilan menjadi ejen sepenuh masa dan komitmen ejen dari segi kualiti penyampaian perkhidmatan.

"Ini adalah perkembangan positif untuk meluaskan akses kepada insurans hayat melalui saluran pengedaran yang berlainan," katanya.


PERKEMBANGAN TEKNOLOGI

Selain itu, perkembangan ini turut disifatkan selaras dengan aspirasi industri untuk menjadikan produk insurans hayat mudah diakses melalui pelbagai saluran pengedaran dengan memperkenalkan Saluran Pengedaran Langsung pada Julai lalu.

Menerusi platform Saluran Pengedaran Langsung, orang ramai boleh membeli insurans hayat melalui Internet atau pejabat syarikat insurans.

Saluran Pengedaran Langsung adalah salah satu inisiatif di bawah Rangka Kerja Insurans Hayat dan Takaful Keluarga yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada November 2015 untuk mempelbagaikan saluran pengedaran untuk jangkauan yang lebih luas kepada pengguna.

Objektifnya untuk meningkatkan peratusan rakyat Malaysia dengan insurans hayat dari tahap semasa iaitu 56 hingga 75 peratus menjelang tahun 2020.


PRESTASI INDUSTRI INSURANS SEPARUH TAHUN PERTAMA 2017

Menurut LIAM, industri insurans hayat mencatatkan pertumbuhan yang sihat pada separuh pertama tahun 2017 dengan pertumbuhan 4.7 peratus dalam premium berwajaran perniagaan baru (100 peratus premium ditambah 10 peratus daripada premium tunggal).

Premium wajaran perniagaan baru dilaporkan mencecah RM2.56 bilion berbanding RM2.44 bilion yang dicapai dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Jumlah kasar yang dijaminuntuk semua polisi individu baru digabungkan pula mencatatkan RM60.4 bilion berbanding RM53.5 bilion yang dicapai dalam separuh tahun pertama 2016.

"Bagi separuh pertama tahun 2017, industri insurans hayat membayar tuntutan yang lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Industri ini mencatatkan peningkatan faedah sebanyak 3.2 peratus untuk kematian, kecacatan, perubatan, bonus dan lain-lain berjumlah RM4.97 bilion berbanding RM4.82 bilion untuk tempoh sama tahun lepas," katanya.