Berdasarkan 75 peratus daripada rakyat Malaysia (anggaran 24 juta daripada 32 juta) yang memiliki secara purata 3.1 telefon pintar bagi setiap individu, Internet berjaya mengubah pelbagai aspek kehidupan kita termasuk cara kita mencari hiburan, berkomunikasi dan membeli-belah.

Kajian baru yang dijalankan Google dan agensi penyelidikan pasaran, Kantar TNS menunjukkan bahawa kemudahan yang ditawarkan oleh peranti mudah alih ini sebenarnya turut mengubah cara pengguna di negara ini membeli pelan mudah alih dengan syarikat telekomunikasi.


KAJIAN PELAN MUDAH ALIH

Kebanyakan pengguna sebelum ini hanya dihubungi menerusi iklan-iklan di televisyen, radio, surat khabar dan majalah yang memaparkan ciri-ciri dan pelbagai faedah yang mengelirukan mereka.

Namun, sikap pengguna daripada kemahuan untuk membeli sebuah pelan mudah alih baru kepada proses pembelian dilihat lebih berinformasi. Kewujudan Internet yang dilabel sebagai dunia tanpa sempadan menjadikan segala maklumat berada di hujung jari pengguna.

Walau bagaimanapun, persoalan timbul bagaimana pengguna Malaysia memilih pelan mudah alih mereka?

Selain membuat pilihan yang tepat untuk telefon pintar, pengguna juga perlu menitikberatkan faktor pemilihan pelan mudah alih agar tawaran yang diberikan sesuai mengikut keperluan.

Google dan Kantar TNS baru-baru ini menjalankan satu kajian untuk mengetahui bagaimana pengguna negara ini memilih pelan mudah alih mereka. Antara yang diambil kira semasa proses pembelian adalah kehendak, kajian awal, kajian lanjut dan titik jualan.

Kajian tersebut mendapati bahawa proses membeli sebuah pelan mudah alih adalah mengelirukan bagi pengguna secara amnya. Walaupun ramai di antara pengguna tempatan boleh mengingati jenama-jenama 'telco' sedia ada tetapi mereka tidak mengetahui secara mendalam mengenai produk yang ditawarkan sekaligus memberi kesan kepada cara mempertimbangkan sesuatu pelan mudah alih.


TAHU KE TAK?

Penggunaan telefon pintar kini tidak hanya terhad untuk membuat panggilan dan menghantar mesej tetapi juga menjadi peranti mudah permainan video.

Keputusan menunjukkan bahawa 37 peratus pengguna tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai produk yang dibeli manakala 41 peratus daripada mereka mempunyai sedikit pengetahuan yang membolehkan mereka mengkaji tiga jenama secara purata.

Hanya 22 peratus saja daripada pengguna yang betul-betul memahami tentang produk yang disasarkan. Bagi 9 daripada 10 pengguna pelan mudah alih akan melakukan kajian dalam talian terlebih dahulu di mana 3 daripada 5 pengguna memilih enjin carian untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelan berkenaan.


LEBIH PERCAYA IKLAN VIDEO

Disebabkan terdapat lambakan maklumat pada platform dalam talian, 1 daripada 3 pengguna memilih untuk menonton video dan melihat iklan yang relevan termasuk ulasan produk manakala 8 daripada 10 pengguna pula percaya video dalam talian mampu menambah kredibiliti sesuatu jenama dan produk terbabit.

Meskipun pembelian berlaku di luar talian, kajian dalam talian terutamanya carian telefon mudah alih adalah penting dalam membantu pengguna membuat keputusan sebelum ke kedai. Kajian yang dijalankan oleh pelanggan merupakan peluang terbesar untuk mempengaruhi keputusan mereka.

Mengetengahkan kandungan yang betul pastinya dapat membantu menarik perhatian bakal pengguna.

Apa yang lebih penting, strategi pemasaran perlu tepat dan disasarkan khusus untuk kumpulan sasar. Tarik perhatian pengguna dengan harga mampu milik supaya mereka boleh membuat perbandingan harga, tawaran serta promosi.

Memenangi hati pengguna dengan prestasi dan kualiti perkhidmatan pelan mudah alih lebih penting dibandingkan ciri-ciri lain yang ditawarkan.