Tidak kira di mana pun di muka bumi ini, setiap masyarakat mempunyai kisah dan legenda rakyat mereka yang tersendiri.

Cerita-cerita yang diturunkan secara bergenerasi daripada nenek moyang ada yang lucu, menyayat hati, menghiburkan dan seringkali membawa pengajaran yang bermakna buat mereka yang mendengarnya.

Buat penduduk di tanah air tercinta Malaysia, legenda masyarakat yang diketahui ramai termasuklah kisah Mahsuri, Si Tanggang, Badang, Singapura Dilanda Todak dan tidak ketinggalan juga, Batu Belah Batu Bertangkup.

Siapa masih ingat kisah tersebut? Memandangkan kebanyakan kisah legenda seperti ini diwarisi melalui proses penceritaan turun-temurun, agak sukar untuk dipastikan kesahihan cerita tersebut.

Namun begitu, adakalanya terdapat sedikit peninggalan sejarah yang mampu dijadikan rujukan orang ramai. Jangan terkejut, sekiranya anda ke Kampung Batu Belah yang terletak di Klang, Selangor, anda mungkin mendapat sedikit gambaran mengenai mitos popular ini.

BATU GERGASI TELAN MANUSIA?

Antara lokasi asal penggambaran filem 'Batu Belah Batu Bertangkup' di Kampung Java Teban, Pasir Panjang, Singapura.


“Batu Belah Batu Bertangkup, tangkuplah aku, telanlah aku! Aku kempunan telur tembakul,” begitulah antara diolog yang diucapkan pelakon Allahyarhamah Neng Yatimah di dalam filem klasik arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong, ‘Batu Belah Batu Bertangkup’.

Filem hitam-putih terbitan Malay Film Productions (Shaw Brothers) yang ditayangkan pada tahun 1959 itu diadaptasikan daripada sebuah kisah legenda masyarakat. Kisahnya mengenai kehidupan dua adik beradik iaitu Melur dan Pekan yang melalui liku kehidupan setelah kematian ibu bapa mereka.

Peninggalan mereka dikaitkan dengan puaka dari batu gergasi yang dikenali sebagai 'Batu Belah Batu Bertangkup' yang terletak berhampiran dengan tempat tinggal mereka.

Ibu mereka dalam filem itu mengidam telur ikan tembakul lalu si bapa lakonan Salleh Ghani pergi ke hutan untuk mencari ikan tersebut. Malangnya dia terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia akibat ditimpa pokok sewaktu di dalam hutan.

Sesudah itu, wanita itu mula mengambil alih tugas menyara keluarga tetapi dia masih mengidam untuk makan telur ikan tembakul. Dia kemudian dikejutkan pada waktu malam oleh suatu suara dari 'Batu Belah Batu Bertangkup' yang menginginkan satu lagi korban nyawa setelah kematian suaminya tadi.

Setelah berkali-kali mencuba, akhirnya ibu itu berjaya menangkap ikan tembakul betina yang mempunyai telur di dalamnya. Dia kemudiannya menggoreng ikan dan telur tersebut sebagai lauk. Selepas itu, dia keluar rumah menziarahi pusara arwah suaminya tetapi sempat berpesan pada Melur agar menyimpan separuh telur ikan tersebut buat dirinya.

Malangnya, sesudah memakan bahagiannya, Pekan menangis dan meronta-ronta mahu menghabiskan telur ikan tembakul tersebut dan permintaan itu ditunaikan Melur.

Setelah pulang, si ibu begitu kecewa dan marah sekali apabila mendapati tiada telur ikan tembakul yang ditinggalkan buat dirinya. Pada sebelah malamnya, dia bermimpi mengenai panggilan puaka dari 'Batu Belah Batu Bertangkup' lalu bangun dan pergi ke sana.

Akhirnya, batu yang inginkan satu lagi nyawa itu telah mendengar permintaan ibu itu yang mahu dijadikan korban dan telah menelannya.

Selain daripada filem, kisah 'Batu Belah Batu Bertangkup' ini telah ditulis ke dalam bentuk buku oleh Abdul Samad Ahmad yang diterbitkan pada tahun 1936.

JEJAK KISAH MITOS DALAM ALAM REALITI

Satu pokok buluh didakwa seorang murid bertemu seorang nenek kebayan yang mempunyai kaitan dengan kisah 'Batu Belah Batu Bertangkup'.


“Kita ingin tahu sama ada kisah ini betul atau tidak selepas beberapa generasi wujud. Apabila kisah ini ('Batu Belah Batu Bertangkup') berlaku, mungkin ia pernah wujud pada 200 atau 300 tahun dahulu tapi kita sendiri tidak tahu,” ujar seorang penduduk, Shaifuddin Sahed ketika dihubungi Rojak Daily Skop!.

Dia yang merupakan Ketua Kampung Batu Belah di Klang iaitu tempat legenda tersebut dipercayai berlaku itu mengakui beberapa perkara mengenai kisah tersebut sememangnya wujud di kampung berkenaan.

“Mengikut sejarahnya, kampung ini dulu mempunyai sungai yang dinamakan Sungai Binjai. Dari kawasan Meru, sungai tersebut akan mengalir sehingga ke Sungai Klang. Di kawasan ini juga, ada jalan yang dinamakan Jalan Sungai Putus,” katanya lagi sambil merujuk kawasan di mana Sungai Binjai terputus.

“Sekiranya kita tengok dalam filem, kita tak tahu cerita itu benar atau tidak tetapi kawasan Batu Belah memang mempunyai sungai seperti di dalam filem tersebut dan orang dulu pun sudah mengabadikan dua taman perumahan di sini dengan nama Taman Bunga Melur dan Taman Sri Pekan sempena nama dua anak dalam kisah tersebut,” tambahnya lagi.

Ujarnya, sekiranya mengikut logik akal memang sukar mempercayai pernah wujud batu belah yang boleh menelan manusia. Malah, ia kedengaran seperti sebuah mitos.

Bagaimanapun, Shaifuddin berpandangan oleh kerana kisah tersebut diturunkan sejak sekian lama, berkemungkinan ia juga banyak ditokok tambah ceritanya.

“Contohnya, boleh jadi batu tersebut sudah terbelah dan ada orang terjatuh ke dalamnya. Itu kita tak tahu la kan? Awak kena menilai sendiri sama ada cerita ini mitos atau sejarah tapi bagi saya, cerita ini mungkin ditokok tambah.

"Cuma kalau kita nak tengok kesan peninggalan cerita tersebut, memang di sini ada satu batu dan di sebelahnya ada kolam. Seperti kisah yang selalu diceritakan, air di dalam kolam tu tak pernah surut walaupun waktu kemarau.

“Di kawasan tersebut, sudah didirikan sebuah Sekolah Agama Integrasi. Di sebelah padang sekolah tersebut terdapat pokok buluh kuning yang mempunyai tempat duduk. Mengikut cerita beberapa guru di situ kepada saya, terdapat seorang murid yang suka duduk di situ.

"Apabila ditanya, murid tersebut berkata dia berborak dengan seorang nenek walaupun guru di situ tidak dapat melihat sesiapa di sekelilingnya,” jelasnya merujuk persamaan di dalam kisah legenda asal di mana terdapat pokok buluh dan nenek kebayan.

'BATU BELAH' CETUS MISTERI

Selain kisah misteri pokok buluh dan nenek kebayan itu, masyarakat di kawasan itu juga mempercayai batu belah seperti mana dalam kisah berkenaan sememangnya wujud.

“Batu yang berada di kawasan itu pun selama ini tidak boleh dialihkan, dipecahkan atau dibom. Pernah dengar cerita, ketika hendak buat perumahan di situ, sampai demam orang yang nak mengalih batu tersebut,” tambahnya lagi.

Beberapa tahun lalu, kawasan sekeliling batu tersebut dijadikan kawasan perumahan dan ini mengakibatkan batu tersebut berada di dalam dapur sebuah rumah.

Mengikut kisahnya, tuan rumah tersebut didakwa tidak boleh tidur malam kerana sering terkena gangguan yang sukar untuk dijelaskan. Akhirnya, rumah tersebut diubah suai supaya batu tersebut berada di kawasan luar rumah.

Ketika Rojak Daily Skop! cuba meninjau kawasan yang dikatakan terletaknya batu tersebut, kami mendapati ianya adalah kawasan beberapa rumah yang dikelilingi tembok dan dikawal oleh pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, percubaan kami untuk memasuki kawasan tersebut gagal kerana tidak mendapat kebenaran daripada pengawal keselamatan tersebut.

Sama ada kisah 'Batu Belah Batu Bertangkup' ini sekadar mitos atau mempunyai kebenaran, ia terpulang kepada persepsi masing-masing.

Namun, apa yang diharapkan kisah menarik masyarakat seperti ini tidak hilang ditelan zaman kerana masih banyak pengajaran yang boleh dipelajari khususnya generasi akan datang.