Bencana banjir yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini disifatkan antara yang terburuk pernah melanda negeri itu. Lihat saja berita yang dikongsi menerusi media sosial anda, pasti gambar-gambar banjir banyak dipaparkan, malah ada yang menyayat hati.

Hampir diisytiharkan sebagai darurat bencana, banjir di negeri itu turut meragut seramai tujuh individu yang terkorban. Malah, ada di antara kawasan yang musnah teruk akibat kejadian tanah runtuh.

Insiden ini pastinya menyebabkan kerosakan ke atas pelbagai harta benda milik mangsa banjir. Selain kenderaan yang rosak ditenggelami air, alat elektronik juga antara yang terjejas teruk.

Bayangkan televisyen, peti sejuk dan mesin basuh mengalami kerosakkan akibat banjir dan ia mungkin tidak boleh digunakan lagi meskipun sudah dibersihkan daripada lumpur banjir.

BANTUAN BAIK PULIH PERCUMA

Ada penduduk yang mengalami nasib malang apabila rumah mereka hampir runtuh sepenuhnya akibat banjir.
Namun bagi anda yang tidak tahu Samsung Malaysia Electronic (SME), semalam telah pun melancarkan perkhimatan baik pulih bagi ke semua mangsa banjir yang terjejas baru-baru ini.

Samsung menyatakan khidmat baik pulih itu akan diberi secara percuma bermula 8 November sehingga 31 Disember dan ia membabitkan pusat penyelanggaran terpilih di Pulau Pinang dan Kedah.

Bagi anda yang terjejas akibat banjir ini antara senarai barangan yang boleh hantar ke pusat khidmat Samsung ini.

Antaranya adalah televisyen lebih 32 inci, mesin basuh, peti sejuk dan penyaman udara. Bagaimanapun, bagi barangan ini anda terlebih dahulu perlu mengubungi Samsung Care-Line di talian 1800-22-8899 untuk melakukan temu janji.

Bagi produk bersaiz sederhana dan mudah dibawa pula merangkumi alat pembersih vakum, ketuhar gelombang mikro, televisyen bawah 29 inci dan system audio.

Perlu diingatkan perkhidmatan ini ditawarkan hanya bagi kawasan yang terjejas teruk akibat banjir. Antaranya adalah Pulau Tikus, George Town, Bayan Lepas, Batu Ferringhi, Sungai Puyu, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Butterworth, Juru dan Kampung Masjid, Kedah.

BANTUAN 'ONE OFF' KEPADA SEMUA MANGSA

Diharapkan penduduk di Pulau Pinang tabah menghadapi dugaan ini.
Selain bantuan daripada Samsung ini, mangsa banjir juga perlu tahu mereka akan menerima bantuan secara ‘one off’ oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak RM500.

Bantuan khas itu membabitkan peruntukan RM50 juta yang akan disalurkan kepada 100,000 isi rumah yang terjejas akibat bencana itu.

Perlu diingatkan bantuan ini juga tidak termasuk wang derma yang diterima kerajaan negeri menerusi sumbangan orang ramai, badan berkanun dan pihak lain.

Sehingga pagi ini seramai 3,213 mangsa banjir daripada 802 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di dua daerah di Pulau Pinang. Jumlah itu semakin berkurangan berbanding 3,736 mangsa banjir daripada 936 keluarga pada malam tadi.