Lebih 101 pilihan Resepi Tok Wan menjadi tarikan buat pengunjung yang datang menikmati bufet Ramadan dan majlis berbuka puasa di Hotel Vistana, Bukit Jambul Pulau Pinang.

Hidangan istimewa masakan bonda atau tradisional ini menyediakan pelbagai juadah bermula dari aneka pencuci mulut termasuk kuih muih tradisi Melayu seperti onde-onde, seri muka, ketayap, kuih lapis, kuih loyang, kuih cara, aneka kek dan puding.

Tidak ketinggalan, pengunjung boleh mencuba murtabak, laksa, roti canai dan ais kacang termasuk paling mendapat sambutan pastinya hidangan panggang seperti sate, kambing panggang, ikan panggang, kerang rebus serta pelbagai jenis ulam-ulaman dan kerabu.

Pengunjung boleh mencuba rendang itik untuk berbuka puasa.

Bagi membangkitkan selera dan menarik kehadiran pengunjung yang cukup memberangsangkan pada setiap tahun, Hotel Vistana Pulau Pinang pada tahun ini menampilkan pelbagai hidangan utama yang cukup menarik antaranya daging rendang, ikan cencaru belah belakang, ayam goreng berempah, rendang itik, gulai daging, ikan keli goreng dan siput belitung masak lemak cili padi.

Harga bufet Ramadan yang ditawarkan adalah pada harga RM70 bersih untuk dewasa dan RM30 bersih untuk kanak-kanak berusia antara empat sehingga 12 tahun. Sudah tentu dengan 101 juadah yang disediakan, pengunjung pastinya berasa ianya cukup berbaloi untuk berbuka di sini.

Aneka kuih muih tradisional Melayu membuka selera pengunjung yang mencuba Resipi Tok Wan.

Bukan itu sahaja, pihak hotel turut menyediakan acara hiburan iaitu persembahan biola dan bagi pengunjung yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi talian 04-646 8000.