Pihak berwajib di Malaysia lazimnya menganggarkan pembuangan dan penghasilan sampah pukal di seluruh negara akan meningkat antara 20 sehingga 30 peratus pada musim perayaan termasuk Aidilfitri berbanding pada hari biasa.

Jangkaan peningkatan sampah itu disumbangkan oleh amalan kebiasaan setiap keluarga menjelang perayaan menggantikan kelengkapan rumah mereka yang telah rosak atau lama dengan yang baharu. Sampah pukal antaranya terdiri daripada barangan buangan berupa perabot, tilam buruk dan barangan elektrik.

Peningkatan mendadak sampah pukal kadang kala menyumbang kepada pemasalahan longgokan sampah longgok haram di kawasan perumahan sehingga boleh menimbulkan polemik dalam kalangan orang ramai yang tidak senang dengan gejala tersebut.

KUTIPAN SAMPAH PUKAL PERCUMA

Menyedari masalah yang boleh timbul akibat peningkatan mendadak sampah pukal sewaktu musim perayaan, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif mengadakan perkhidmatan percuma untuk mengutip sampah berkenaan ketika sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Caj perkhidmatan mengutip sampah pukal berbayar tidak termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dikenakan MPSJ adalah seperti berikut:

- RM 30 (caj minima)

- RM 50 (1/3 Lori)

- RM 100 (1/2 Lori)

Sempena Aidilfitri, MPSJ akan menyediakan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma bagi kawasan perumahan sahaja.

MPSJ KOMITED BERI PERKHIDMATAN TERBAIK

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, perkhidmatan percuma itu disediakan kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti mereka begitu komited dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk komuniti di bawah pentadbiran mereka.

"Sempena musim perayaan Aidilfitri 2017 MPSJ akan menyediakan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma bagi kawasan perumahan sahaja. Tempoh perlaksanaan perkhidmatan ini bermula dari 14 sehingga 23 Jun ini di semua kawasan di bawah pentadbiran MPSJ," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Bagaimanapun, perkhidmatan ini hanya dilaksanakan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan dan pihak MPSJ tidak akan melaksanakan kutipan sampah pukal selepas tamat tarikh yang telah dinyatakan.

KUMPULKAN SAMPAH DEPAN RUMAH

Sehubungan itu, Azfarizal meminta penduduk, wakil penduduk atau Jawatankuasa Penduduk (JKP) di bawah pentadbiran MPSJ yang mahu mendapatkan perkhidmatan percuma berkenaan supaya mengemukakan permohonan.

Tambahnya, permohonan perlu dibuat mengikut kawasan dengan menghubungi pihak MPSJ ditalian 03-80267433 / 4363 / 7431 dengan memaklumkan maklumat pemohon dan alamat lengkap lokasi kutipan. MPSJ akan menetapkan jadual untuk kutipan sampah pukal tersebut.

Azfarizal juga meminta penduduk terlibat supaya mengumpul dan meletakkan sampah pukal tersebut di hadapan rumah masing-masing bagi memudahkan kerja-kerja kutipan dijalankan kontraktor MPSJ mengikut jadual yang telah ditetapkan.