Seorang ibu sanggup datang beratus kilometer dari Kajang ke Pulau Pinang semata-mata mahu menjadi gelandangan demi menagih simpati orang ramai agar menghulurkan sumbangan makanan dan wang tunai.

Ramnah Ismail, 49, berkata, sejak 10 Ramadan lagi dia sudah berada di persekitaran Masjid Kapitan Keling bersama-sama rakan yang lain untuk meminta sumbangan ikhlas daripada orang ramai. Dia memberitahu kehadirannya ke Pulau Pinang langsung tidak diketahui tiga anaknya kerana merasakan dirinya tersisih selain diabaikan membuatkannya membawa diri datang ke negeri itu.

"Tiada apa yang harus dimalukan melainkan menerima sumbangan ikhlas daripada orang ramai lebih-lebih lagi dekat raya ini dan saya bersyukur kerana masih ramai pihak yang ambil berat berbanding anak sendiri.

"Mereka seolah-olah tidak memperdulikan diri saya kerana terlalu sibuk dengan kerja dan tinggalkan saya seorang diri di rumah tanpa sebarang khabar berita dan lebih baik saya datang ke sini.

"Orang luar lebih menghargai kita daripada anak kita sendiri dan saya tidak perlu rasa malu atau segan meminta sumbangan dan bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi rezeki. Insha Allah saya akan pulang pada hari raya pertama bersama dua lagi rakannya ke Selangor," katanya ketika ditemui semasa Program Khidmat Sosial Agihan Makanan Percuma Suspended Meal menjelang Aidilfitri di sekitar Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang, kelmarin.

Antara gelandangan yang menerima makanan percuma daripada sukarelawan 'Suspended Meal'.

SIAPA MEREKA MEMBANTU GELANDANGAN?

Program ini dianjurkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, kampus Alor Gajah melalui Fakulti Komunikasi & Pengajian Media dan Faithmen.

Pengasas Suspended Meal yang juga Pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka, Shafezah Abdul Wahab berkata, kehadiran mereka bersama sukarelawan menghulurkan sumbangan ikhlas kepada mereka yang kurang berkemampuan ini merupakan lokasi kedua selepas Kuala Lumpur.

Sukarelawan Program Khidmat Sosial Agihan Makanan Percuma Suspended Meal bertindak turun padang bertemu golongan gelandangan.

Jelasnya, di Kuala Lumpur aktiviti ini dilakukan di Pusat Transit Gelandangan di Chow Kit dengan sebanyak 200 bungkusan makanan diagihkan berbanding Pulau Pinang sekitar 150 bungkusan makanan.

Tambahnya, objektif utama adalah untuk memberikan sedikit kebahagiaan dan keceriaan kepada golongan terbabit dengan sedikit sumbangan ikhlas.

"Kita bersyukur kepada Allah kerana setiap sumbangan yang diberikan termasuk makanan ini adalah hasil sumbangan wang tunai daripada orang ramai sepenuhnya selain akan meneruskan lagi dari masa ke semasa," katanya.