Cukai Pelancongan yang bakal dikuatkuasakan Kerajaan Persekutuan mulai 1 Julai ini menjadi polemik dalam kalangan orang ramai kerana pelaksanaannya bakal menyaksikan kadar cukai dikenakan antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan satu malam di sesebuah hotel.
Isu itu bertambah hangat apabila ramai pemimpin dan penyokong parti pembangkang mengambil kesempatan daripada pengumuman cukai berkenaan untuk menyerang dan memperlekehkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Polemik Cukai Pelancongan menjadi 'panas' apabila berlaku perang mulut antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenainya.
Abdul Karim mencadangkan Putrajaya menangguhkan pelaksanaan Cukai Pelancongan. Namun, cadangan itu dikritik Nazri yang menyifatkan Abdul Karim tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu kerana beliau baru 'setahun jagung' dalam pentadbiran kerajaan.
RAKYAT PERLUKAN PENERANGAN
Bagi Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Shahir Adnan, isu Cukai Pelancongan menjadi polemik kerana rakyat dan pengusaha premis penginapan tidak diberi penerangan secara penuh mengenai cukai berkenaan.
Katanya, Kementerian Pelancongan perlu menghebahkan jenis premis pelancongan yang akan dikenakan cukai dan pengecualiannya bukan seperti tanggapan ramai terhadap semua bilik hotel akan dikenakan cukai RM20.
"Dewasa ini, ramai anak muda mula menceburi perniagaan 'homestay' atau 'Airbnb' secara atas talian untuk menambah duit poket bulanan. Pemuda IKATAN tidak mahu melihat anak muda tersungkur kerana bebanan cukai atau kerana terjejasnya industri pelancongan," katanya dalam satu kenyataan.
Shahir turut meminta Kerajaan Persekutuan melaporkan bagaimana hasil cukai yang dianggarkan sehingga RM654 juta akan digunakan untuk melonjakkan industri pelancongan negara dan membantu pelancongan negeri serta mewujudkan garis panduan untuk mengelak pertindihan cukai antara Persekutuan dan kerajaan negeri.
CUKAI PELANCONGAN RM20 CUMA AS$5
Timbalan Presiden, Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan pula berpandangan Cukai Pelancongan itu wajar dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama cukai itu hanya dikenakan ke atas pelancong dari luar negara.
Jelasnya, bagi pelancong luar negara, cukai RM20 bagi hotel lima bintang ini hanya lebih kurang AS$5 dan ia sebenarnya tidak akan mempengaruhi keputusan mereka untuk bercuti di Malaysia.
"Saya berpendapat ini merupakan satu situasi menang-menang bagi semua pihak dan ia juga dapat meredakan sedikit ketegangan yang berlaku di antara beberapa Menteri Persekutuan dan juga dari Sabah dan Sarawak.
"Fasa kedua, Cukai Pelancongan ini boleh dilaksanakan setelah beberapa interaksi dilakukan bersama pemain industri dan persatuan hotel dimana persetujuan bersama dapat dicapai," katanya.
Tambahnya, PCM ambil maklum peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Kementerian Pelancongan berkurangan secara mendadak sejak beberapa tahun ini ekoran kejatuhan harga minyak dan gas asli dunia.
Namun, dalam usaha kementerian itu menambahkan pendapatan untuk meningkatkan industri pelancongan negara, ada beberapa cara lain boleh diterokai bersama untuk memastikan cukai tersebut diterima semua pihak dengan cara yang baik.