Jika dulu, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak agak terhad kerana harganya yang mahal. Namun, situasi terbabit kian berubah dan ibu bapa dlihat mula mendedahkan anak mereka dengan gajet seperti tablet dan telefon pintar.

Alasan yang sering digunakan adalah untuk mengelak anak-anak ini daripada menangis mahupun membuang masa di luar rumah. Malah, jangan terkejut apabila melihat kanak-kanak sekolah rendah pun sudah memiliki telefon pintar yang serba canggih.

Namun, tahukah anda pendedahan di peringkat awal ini akan menyebabkan generasi muda hidup dalam keadaan yang tidak sihat?

Pendedahan yang berpanjangan terhadap skrin monitor ataupun telefon pintar bukan hanya memberi kesan pada mata, malah turut memberi impak terhadap kesihatan badan dalam tempoh jangka masa panjang

Rojak Daily Skop! mengupas isu ini lebih mendalam untuk memahami mengapa aktiviti 'melayan' skrin telefon atau komputer sebelum tidur sangat tidak digalakkan.

TELEFON PINTAR MAMPU CECAH 1249 NITS

Melihat skrin telefon dalam keadaan gelap sebegini boleh merosakkan mata anda.
Paparan skrin telefon pintar dan komputer direka dengan penggunaan cahaya lampu skrin yang kuat dan terang. Cahaya dikeluarkan ini cukup terang biarpun dibawah sinaran matahari yang terik.

Sebagai contoh, tahap kecerahan skrin pada Apple iPhone X mencecah 625 nits. Ini purata yang kebiasan digunakan pada peranti ini tetapi sebenarnya kebanyakan telefon pintar mampu mengeluarkan cahaya skrin yang lebih tinggi.

Seperti contoh Samsung Galaxy Note 8 dikatakan mampu mencecah tahap kecerahan setinggi 1,249 nits!

Sebenarnya, tahap keterangan ini sesuai pada siang hari bagi memastikan teks atau gambar dapat dilihat dengan jelas. Namun, ia berbahaya jika dipandang pada waktu malam apatah lagi dalam suasana bilik gelap.

KURANG MELATONIN PUNCA SUKAR TIDUR

Tubuh badan manusia secara semula jadinya akan mengikut kitaran normal yang membolehkan kita tidur pada waktu malam dan berjaga pada waktu siang dan malam.

Namun, tahukah anda skrin telefon sebenarnya boleh menyebabkan otak kita keliru untuk memproses waktu tidur atau sebaliknya.

Secara saintifiknya, badan kita akan menghasilkan melatonin iaitu hormon yang memberikan isyarat tubuh badan anda untuk tidur. Namun, cahaya dikeluarkan telefon pintar akan mengganggu pengeluaran melatonin ini.

Masalah ini akan menyebabkan kekeliruan pada badan untuk tidur, sekali gus boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

KESAN PADA MATA DAN BADAN

Anda mungkin pernah mengalami situasi in. Jaga jarak antara mata dan komputer!
Menurut Perunding Pakar Mata dan Bedah Okuloplastik Hospital Pakar KPJ Klang, Dr Zurina Zainal Abdidin, ini antara kesan pada kesihatan anda sekiranya melihat skrin telefon pintar dalam tempoh terlalu lama:

  1. Mata anda akan letih, pandangan kabur dan mata kering sekali gus menyebabkan sakit kepala.
  2. Selain itu, anda akan mudah berasa sakit pada leher dan bahu. Jarak antara mata dan skrin yang tidak selaras boleh menyebabkan ketegangan terhadap leher dan bahu.
  3. Mata anda juga akan mula berair dan berasa pedih. Ini berkemungkinan berpunca daripada keadaan mata yang kering.
  4. Rabun antara kesan paling ketara yang bakal diterima oleh orang ramai. Melihat skrin pada waktu lama dan jarak dekat boleh menyebabkan mata hilang fokus. Perkara ini sekali gus menyebabkan masalah rabun.


TIBA MASANYA UNTUK TINGGALKAN TELEFON/LAPTOP

Sukar rasanya untuk mengenepikan penggunaan kedua-dua peranti pintar ini dalam tempoh agak lama kerana ia kini satu keperluan.

'Tips' yang boleh anda lakukan sebagai langkah awal mencegah daripada kerosakan mata:

  1. Selaraskan tahap kecerahan skrin secara manual mengikut persekitaran. Anda boleh menetapkan mengikut kesesuaian mata anda supaya skrin lebih gelap berbanding sepatutnya.
  2. Bagi yang kerap menghadap komputer, jarak monitor harus sekitar 50 hingga 60 sentimeter dari mata.
  3. Terdapat juga ‘senaman’ mata boleh anda praktikkan. Hanya perlu melihat objek yang lebih jauh dengan anggaran 20 meter selama 20 saat. Lakukannya untuk setiap 20 minit.
  4. Selain itu, jika anda berkaca mata mungkin boleh menggunakan jenis antiradiasi. Walaupun agak mahal tetapi ianya untuk jangka masa panjang. Kaca mata ini akan menapis kemasukan cahaya berlebihan kepada mata anda.
  5. Anda juga boleh kurangkan aktiviti daripada mengikuti drama atau rancangan bersiri yang disediakan oleh perkhidmatan strim seperti Netflix, iFlix atau YouTube. Rancangan bersiri ini boleh menyebabkan anda ketagih dan kerap berjaga malam manakala secara tidak langsung melihat telefon pintar atau tablet untuk jangka masa lama.


APLIKASI UNTUK MATA

Anda mungkin boleh cuba menggunakan 'filter' merah ini jika sayangkan mata anda.
Sebenarnya, terdapat aplikasi yang dicipta untuk melindungi mata anda. Selain penetapan ‘Night Mode’ yang sedia ada, anda juga boleh memuat turut aplikasi seperti f.lux dan Twilight.

Bagi aplikasi Twilight, ia dicipta untuk menghalang tahap cahaya biru dan kemudiannya ditukarkan kepada cahaya merah.

Berdasarkan kajian, pendedahan kepada cahaya biru yang terlalu lama ketika waktu malam boleh menyebabkan ketidakupayaan anda untuk tidur. Penapis merah menjadikan mata lebih selesa dan membolehkan anda tidur dengan nyenyak!

Ingat, jagalah mata anda sebelum ia rosak sehingga akhirnya anda menjadi rabun dan tidak dapat lagi menikmati deria penglihatan.