Aktiviti mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar atau 'selfie' memang cukup popular dalam kalangan pengguna. Namun, jangan terlalu ghairah atau asyik mengambil swafoto kerana anda boleh menjadi sasaran peragut.

Seorang pelancong wanita dari China berusia 40 tahun antara mangsa terbaru kes ragut yang berlaku di ibu kota. Apa yang menghairankan, kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang swafoto di tepi jalan berdekatan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Lokasi Dataran Merdeka yang sering menjadi tempat tumpuan pelancong nampaknya turut mempunyai potensi berlakunya kejadian ragut yang menjadikan pelancong asing sebagai sasaran.

Difahamkan, suspek yang menaiki motosikal datang dari arah belakang mangsa kelihatan dalam rakaman video yang diambil wanita itu yang kemudian terjatuh selepas diragut.

Pihak polis memberitahu Harian Metro mengesahkan kejadian tersebut berlaku pada Sabtu lalu jam 12.30 tengah hari. Bagaimanapun, wanita itu tidak mengalami kecederaan hanya terjatuh ketika beg tangannya diragut. Rakaman video tersebut turut dikongsi ramai pengguna di media sosial.