Sekilas
- Scha Alyahya berkongsi bahawa anak sulungnya, Lara Alana, lebih fokus pada akademik dan kurang berminat dalam industri hiburan.
- Lara sangat komited dengan pelajaran dan mengurus masa dengan baik walaupun Scha risau dia terlalu serius pada usia muda.
- Walaupun terdedah dengan dunia seni sejak kecil, Lara memilih untuk memberi tumpuan pada pendidikan dan mempunyai pemikiran sendiri.
Pelakon, Scha Alyahya memaklumkan bahawa anak sulungnya, Lara Alana dilihat tidak mempunyai minat dalam industri hiburan, sebaliknya lebih suka terlibat dalam hal akademik.
Pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu berkata bahawa Lara seorang yang sangat komited dengan akademik, malah dia sudah tahu untuk melakukan aktiviti apa bagi mengisi masa lapangnya.
“Saya tak nampak kecenderungan dia dalam industri. Mungkin dia pun tak fikir terlalu jauh untuk masuk dalam bidang seni.
“Cara saya praktis dengan Lara ialah dia perlu utamakan pendidikan dahulu. Habis belajar terserah pada dia.
“Tapi itulah, saya nampak Lara lebih ke arah akademik. Balik sekolah sahaja, dia tahu nak buat homework dan apa aktiviti yang perlu dia sertai,”katanya kepada Gempak.
Scha berkata demikian ketika ditemui di sidang media filem 5 Bomoh di Menara Kuala Lumpur.
Tambahnya, dia mengakui sedikit risau dengan pengurusan masa Lara kerana terlalu serius dalam akademik, namun dia berharap agar Lara dapat berseronok juga.
“Lara seorang yang sangat menepati masa. Dia tahu apa yang perlu dibuat dan pukul berapa perlu tidur.
“Kadang saya kasihan juga sebab dia terlalu serius dalam menguruskan masa untuk usia semuda itu.
“Tapi tidak mengapalah, itu memang karakter dia. Jadi, saya harap semakin dia dewaasa dia tahu juga untuk berseronok,”ujarnya.
Dalam masa sama, Scha berkata meskipun Lara terdedah dengan industri sejak kecil, namun dia memiliki sifat dan pemikiran sendiri.
“Macam Lara sejak dia baru lahir, dia dah dapat pendedahan mengenai industri. Jadi, saya perasan dia ada karakter dan pemikiran tersendiri.
“Kalau boleh dia tak mahu lagi perhatian. Dia pun nak masuk usia remaja. Saya hormati permintaaannya. Dia lebih serius dan fokus pada akademik. Dia tahu apa yang dia nak,”kongsinya.
Sekadar info, Scha telah mendirikan rumah tangga bersama pelakkon, Awal Ashaari pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Lara Alana dan Lyla Amina.