Sekilas
- Azar Azmi mendedahkan dia hanya mempunyai baki RM28 dalam akaun bank selepas dibebaskan dari mahkamah atas dakwaan penipuan.
- Azar berasa takut untuk berdepan dengan orang ramai kerana bimbang dengan pandangan dan tomahan terhadap dirinya.
- Dia bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga yang membantu dalam saat sukar, sementara suaminya menghadapi pertuduhan penipuan dengan jaminan yang telah ditetapkan mahkamah.
Pelakon, Azar Azmi mendedahkan situasi kewangannya ketika dia dibebaskan dari mahkamah atas pertuduhan dakwaan yang mengatakan dirinya melakukan penipuan sejumlah wang amaun yang besar.
Menurut Azar, ketika dia melangkah keluar dari tempat berkenaan, dia hanya mempunyai wang berbaki RM28 sahaja di dalam akaun banknya tanpa sebarang simpanan.
"Ada satu benda yang memang tiada seprang pun yang tahu megenai perkara ini. Ketika aku kena ambil hari itu, habis dan tiada apa-apa langsung.
"Aku dibebaskan dan lepas aku keluar, dunia akhirat aku ada tinggal RM28 sahaja. Totally aku tiada apa dah. Simpanan pun aku tiada," katanya ditemu bual menerusi sebuah program podcast tempatan, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Azar turut tidak mampu untuk berdepan dengan orang ramai kerana bimbang dengan penerimaan orang terhadap dirinya.
"Ketika aku nak melangkah keluar, aku jadi takut nak jumpa orang. Takut terhadap pandangan, tomahan dan makian orang," ujarnya sambil menahan sebak.
Bagaimanapun, Azar turut meluahkan rasa syukur kerana dia masih mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong dan membantunya ketika saat-saat getir.
Pakaian aku sekarang ni pun dari keluarga aku. Aku beruntung sebab masih ada adik beradik yang bantu aku. Kalau tak, aku rasa hidup aku terkontang kanting dan tak tahu apa jadi dengan hidup aku.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim memberitahu pelakon usia 35 tahun itu dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan kedua-dua kes.
Dalam prosiding yang berlangsung suaminya Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Mohd. Apri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan gout.
Mahkamah Sesyen kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin bukan isteri beserta syarat tambahan.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran wang sebanyak RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 sebelum Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan sebutan semula pada 15 April.